BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman mengongsikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama sudah menyenaraikan semua urusan utama yang orang ramai perlukan iaitu hasil pemetaan kementerian, ada 66 perkhidmatan ugama yang dikenal pasti sebagai senarai induk untuk didigitalkan berperingkat dan dijadikan penanda aras perancangan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, mengongsikan perkara itu pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, tentang transformasi digital, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan, berdasarkan senarai itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama sedang membangunkan laman sesawang baharu dan satu portal e-Perkhidmatan supaya orang ramai tidak perlu mencari mengikut bahagian tetapi boleh pergi ke satu pintu dan memilih mengikut keperluan hidup yakni ‘live event’ yang lebih mudah difahami.
Supaya selaras dengan usaha negara, tambah Yang Berhormat, pelaksanaan ini dibuat dengan pensejajaran Whole-Of-Government melalui kolaborasi bersama EGNC termasuk menggunakan platform Kerajaan FormBN, dan Kementerian Hal Ehwal Ugama juga telah melantik FormBN Champion untuk mepercepat pendigitalan borang-borang rasmi secara teratur.
“Yang Berhormat Pengerusi, kemajuan ini juga diikat kepada tiga ukuran, kejayaan dalam pelan strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029, iaitu pertama berapa banyak perkhidmatan teras berjaya didigitalkan? Yang kedua berapa ramai rakyat benar-benar menggunakan? Dan yang ketiga tahap kepuasan rakyat supaya yang dibuat nanti bukan sekadar ada sistem tetapi betul-betul memudahkan. Adalah yang menjadi harapan dan inisiatif awal ini akan mula menampakkan hasil yang lebih jelas dalam Tahun Kewangan baharu ini terutama dari segi akses satu pintu, borang yang lebih tersusun dan pengalaman yang lebih mudah,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




