BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Pada perbahasan hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengemukakan cadangan khususnya mengenai kemungkinan untuk membuka lebih banyak perwakilan diplomatik Negara Brunei Darussalam di luar negara.
Menurut Yang Berhormat, dalam mendepani landskap hubungan antarabangsa yang semakin dinamik dan mencabar, adalah penting bagi NBD untuk terus memperkukuhkan jaringan diplomatiknya di peringkat global yang sedia sudah kukuh.
Pada masa ini, tambah Yang Berhormat, terdapat beberapa rantau yang masih belum mempunyai Perwakilan Tetap NBD, antaranya di Benua Amerika Selatan.
Urusan diplomatik bagi negara-negara di rantau tersebut jelas Yang Berhormat kebanyakannya masih dikendalikan melalui Kedutaan Besar NBD di Washington dan Ottawa.
Dalam hal ini, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa berpendapat bahawa kewujudan perwakilan tetap di rantau tersebut akan dapat mempertingkatkan lagi keberkesanan hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan, terutama industri halal, pelaburan, pendidikan serta pertukaran budaya.
“Selain itu, kaola juga ingin menarik perhatian mengenai status beberapa perwakilan Brunei di luar negara yang ada pada masa ini masih berada pada tahap Kuasa Usaha Sementara, Charge d’Affairs antaranya di Rabat, Maghribi dan di Manama, Bahrain,” tambah Yang Berhormat.
Yang Berhormat mencadangkan agar pihak kerajaan akan dapat meneliti kemungkinan untuk menaik taraf perwakilan-perwakilan ini daripada tahap Charge d’Affairs, Kuasa Usaha Sementara ke peringkat Duta Besar Penuh.
Langkah ini, jelas Yang Berhormat, diyakini akan memberikan impak yang lebih signifikan dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik serta meningkatkan lagi imej dan kehadiran NBD di persada antarabangsa.
“Kaola percaya bahawa usaha memperluaskan dan memperkukuhkan perwakilan negara adalah selaras dengan kepentingan strategik negara dan mempertingkatkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala di samping membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada pembangunan negara,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


