BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Pusat Perubahan Iklim ASEAN pada masa ini di peringkat ratifikasi oleh Negara Anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam. Proses ‘ratification’ ini memang mengambil masa yang lebih panjang. Oleh kerana proses ratifikasi ini tertakluk kepada proses undang-undang Negara Anggota ASEAN masing-masing.
Bagi Negara Brunei Darussalam selaku negara tuan rumah perlu mengambil langkah tambahan berbanding Negara Anggota ASEAN yang lain untuk memastikan segala-galanya teratur dari sudut undang-undang dan agar negara mempunyai kapasiti untuk menegakkan komitmen selaku negara tuan rumah.
Dengan itu, Brunei bersedia untuk meratifikasi perjanjian ini dan akan mengumumkannya pada masa yang akan datang. Bagi negara ASEAN lain jua telah memulakan proses ratifikasi mereka dan proses ratifikasi ini akan memerlukan sekurang-kurangnya enam tandatangan negara ASEAN dan 60 hari untuk berlalu selepas tandatangan ke enam negara itu telah diserahkan kepada sekretariat ASEAN untuk ia mula berkuatkuasa. Jadi, insyaaAllah dalam masa terdekat ini, Pusat Perubahan Iklim ASEAN ini akan secara formal ditubuhkan.
Perkara tersebut diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai pengisytiharan Negara Brunei Darussalam sebagai tuan rumah kepada Pusat Perubahan Iklim ASEAN pada bulan Ogos 2023 yang dihasratkan untuk menjadi hab ilmu pengetahuan serantau bagi memperkukuh kerjasama ASEAN dalam menangani impak perubahan iklim serta apakah program-program yang telah dirancang atau dilaksanakan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun melalui kerjasama ASEAN.
Pada Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2026/2027) pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II seterusnya menjelaskan berkenaan dengan peranan dan segi pencapaian ataupun program-program ataupun prestasi dan sebagainya, walaupun Negara Brunei Darussalam merupakan tuan rumah kepada Pusat Perubahan Iklim ASEAN ini, pusat tersebut tidak berada di bawah bidang kuasa Negara Brunei Darussalam. Memang di bawah ASEAN iaitu satu pusat dimiliki secara eksklusif kepada ASEAN, jadi, tidaklah Negara Brunei Darussalam mengaturkan dari segi program prestasi. InsyaaAllah, selepas nanti ASEAN Climate Change Centre ini ditubuhkan memang ada dilantik Executive Director dan sebagainya dengan beberapa pegawai kanan untuk memikirkan apa program ataupun KPI-KPI yang sesuai untuk Pusat Perubahan Iklim ASEAN mengambil juga pandangan-pandangan dari negara-negara ASEAN.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


