BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Sejak tahun 2022, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh telah melaksanakan beberapa inisiatif pembaharuan bagi memudah cara urusan pelabur dan pelaburan, peniaga dan perniagaan termasuk majikan dan pekerja, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap dan kondusif.
Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh JIPK termasuklah pengenalan dasar baharu iaitu Long-Term Pass yang berkuat kuasa pada 31 Disember 2024.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menjelaskan demikian semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.
Selain itu menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, proses pengeluaran visa kerja juga telah dipermudahkan di mana kebenaran visa kini boleh dikeluarkan secara terus selepas kelulusan Lesen Pengambilan Pekerja Asing (LPA) dari Jabatan Buruh dan langkah ini telah berjaya memendekkan tempoh pemprosesan visa daripada sekitar 14 hari bekerja kepada kira-kira tiga hari bekerja.
“Di samping itu, JIPK turut memperluaskan aturan pengecualian visa bagi memudahkan kemasukan warganegara asing ke Negara Brunei Darussalam (NBD) di mana setakat ini sebanyak 67 buah negara telah mempunyai aturan pengecualian visa dengan NBD, manakala lima buah negara telah diberikan kemudahan Visa on Arrival,” ujar Yang Berhormat pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Selaras dengan usaha memudah cara aktiviti pelaburan dan penerokaan peluang perniagaan tambah Yang Berhormat, visa profesional atau visa perniagaan akan diberikan kepada warganegara dari negara-negara yang mempunyai aturan pengecualian visa dengan NBD dengan syarat adanya surat penjamin yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta yang berdaftar di negara ini.
Walau bagaimanapun kemasukan adalah tertakluk kepada peraturan dan penilaian dari JIPK. Manakala bagi warganegara asing yang berhasrat untuk meneroka peluang pelaburan di NBD akan diberikan Professional Visit Visa/Pass bagi tempoh 12 bulan dengan syarat permohonan mereka mendapat sokongan dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Di samping itu kata Yang Berhormat lagi, JIPK telah juga melaksanakan Pusat Kaunter Setempat (One Stop Counter) yang dikenali sebagai Kaunter Perkhidmatan Visa dan Pas yang terletak di Tingkat 2, Bahagian Visa dan Pass, Bangunan Ibu Pejabat JIPK yang menggabungkan kaunter-kaunter permohonan bagi perkhidmatan persendirian (visa dan penyambungan), kerajaan, permohonan visa lawatan dan penyambungan pas lawatan yang dahulunya ditempatkan di Tingkat 1 dan 2, Bangunan Ibu Pejabat JIPK yang bertujuan untuk meningkatkan efisiensi perkhidmatan kepada orang ramai.
“Alhamdulillah, penggunaan sistem e-Gate yang mula digunakan pada 10 Disember 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) turut membantu mempercepatkan proses keluar masuk dimana setakat 5 Mac 2026 seramai 39,490 orang telah menggunakan e-Gate berkenaan.
“Di bawah Jabatan Buruh, antara pembaharuan utama termasuk pelaksanaan National Labour Management System (NLMS) yang membolehkan permohonan berkaitan pekerja asing dilaksanakan ataupun dipohonkan secara atas talian, menggantikan kaedah permohonan secara manual di kaunter. Inisiatif ini memudahkan urusan peniaga, majikan serta agensi pekerjaan berdaftar dalam menghadapkan permohonan dengan lebih cepat dan cekap,” ujar Yang Berhormat.
Selain itu tambah Yang Berhormat lagi, pelaksanaan Jaminan Insurans Takaful Pekerja Asing turut diperkenalkan sebagai alternatif kepada kaedah deposit keselamatan bagi pengambilan pekerja asing. Melalui kaedah ini, majikan hanya perlu membayar premium insurans sebagai jaminan keselamatan, berbanding kaedah jaminan bank atau deposit tunai yang sebelum ini memerlukan jumlah bayaran yang lebih tinggi. Inisiatif ini didapati dapat membantu mengurangkan kos operasi perniagaan khususnya bagi syarikat yang menggaji bilangan pekerja asing yang ramai.
Secara keseluruhannya jelas Yang Berhormat, pelaksanaan pelbagai inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan kecekapan penyampaian Perkhidmatan Awam melalui pendigitalan sistem, penyelarasan proses antara agensi serta penambahbaikan prosedur yang sedia ada, selaras dengan usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, telus dan kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi NBD serta menarik pelaburan berkualiti ke negara ini.
Menurut Yang Berhormat lagi, pendekatan ini juga selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 di bawah Matlamat 3, iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)



