BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) juga terus memberi perhatian kepada usaha memperkasa komuniti serta meningkatkan pembangunan sosioekonomi di peringkat setempat, khususnya melalui penglibatan aktif masyarakat dalam pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Pendekatan ini bertujuan memperkukuh daya tahan komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan untuk menyertai aktiviti ekonomi secara lebih inklusif dan mampan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam kenyataannya pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan, dalam hubungan ini, kementerian melalui jabatan-jabatan daerah terus menyokong secara berterusan inisiatif di bawah program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Jelas Yang Berhormat lagi, antara sokongan yang telah dilaksanakan termasuk penubuhan Pusat 1K1P di Kuala Belait melalui pengubahsuaian bangunan bekas Pejabat Pos Lama yang telah dirasmikan pada 9 November 2025.
Pusat ini tambah Yang Berhormat, berfungsi sebagai platform pemasaran bagi produk-produk tempatan yang dihasilkan oleh pengusaha komuniti. Sehingga penghujung Februari 2026, seramai 109 orang pengusaha tempatan, termasuk peserta Projek TUNAS BIBD dan Bruneian Made telah menyertai pusat tersebut dengan jumlah jualan berjumlah BND17,245 bagi tempoh November 2025 hingga Februari 2026.
“Selain itu, beberapa buah Kedai Kampung turut diwujudkan di beberapa daerah sebagai platform tambahan untuk memasarkan produk tempatan yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.
“Antaranya termasuk Kedai Kampung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan yang mula beroperasi pada 1 Februari 2026, serta Kedai Kampung di Kantin Dewan Muhibbah di Daerah Brunei dan Muara yang mula beroperasi pada 24 November 2025.
“Sementara itu, di Daerah Temburong, Bangunan Kedai Rakyat Jati di Pekan Bangar telah dinaik taraf sebagai Kedai Kampung yang menempatkan sekitar 200 pengusaha produk tempatan dengan purata jualan sekitar BND40,000 sebulan.
“Di kesempatan ini, Kaola juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung yang berkenaan serta beberapa orang Ahli-ahli Yang Berhormat mewakili daerah atas sumbangan pemikiran serta keterlibatan langsung mereka dalam mengungkayahkan pelbagai usaha sehingga terwujudnya kedai-kedai kampung ini, yang setentunya memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong perkembangan sosioekonomi di peringkat komuniti,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




