BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Bagi memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan, penindasan atau eksploitasi tenaga kerja di sektor swasta, Jabatan Buruh telah dan akan terus melaksanakan beberapa mekanisme pengawalseliaan serta penguatkuasaan secara berterusan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, pertama, melalui pelaksanaan National Labour Management System (NLMS) yang mula digunakan pada 4 April 2023, di mana sistem ini membolehkan proses permohonan Lesen Pengambilan Pekerja Asing (LPA) dilaksanakan secara dalam talian bagi menggantikan kaedah manual yang sebelum ini dikeluarkan secara fizikal.
“Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan permohonan, malah turut membolehkan perkongsian data dilaksanakan secara lebih berkesan bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi tujuan pengeluaran visa,” ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Melalui perkongsian data ini tambah Yang Berhormat, sebarang kemungkinan penyalahgunaan LPA dapat dikenal pasti dan dicegah lebih awal, di samping membolehkan semakan terhadap pekerja yang tersenarai dalam pangkalan data dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, dari segi perlindungan undang-undang kepada pekerja, di bawah Bab 10, Akta Pekerjaan Penggal 278, setiap majikan hendaklah menandatangani Kontrak Perkhidmatan (Employment Contract) antara majikan dan pekerja.
Kontrak ini menurut Yang Berhormat lagi, mengandungi terma-terma asas pekerjaan termasuk butiran pekerjaan seperti nama majikan, nama pekerja, jawatan, tempat bekerja dan tarikh mula bekerja; kadar gaji dan bayaran kerja lebih masa; waktu bekerja dan hari rehat; kelayakan cuti; notis penamatan kontrak perkhidmatan; serta aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Tambah Yang Berhormat lagi, keperluan ini bertujuan memastikan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak dinyatakan dengan jelas bagi mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi atau salah guna kuasa oleh majikan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)



