BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi, menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat, mengenai pencapaian terkini dalam aspirasi negara bersih dan bumi hijau serta petunjuk aras (KPI) yang digunakan bagi mengukurnya.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan bahawa aspirasi berkenaan merujuk kepada alam sekitar lestari serta persekitaran yang bersih dan hijau di bawah Hasil Pencapaian Negara Keenam Wawasan Brunei 2035.
Menurutnya, usaha tersebut melibatkan pelbagai inisiatif dan langkah strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan bersama pihak industri berkepentingan.
Di bawah peruntukan Tahun Kewangan 2025/2026, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk pengurusan sisa pepejal (‘solid waste management’), pengurusan kualiti udara, pemantauan kualiti air serta usaha mengurangkan pencemaran di seluruh negara, meliputi kawasan bandar dan luar bandar.
Antara pencapaian utama ialah pertama, Projek Pembersihan Sampah secara berterusan di Sungai Brunei yang telah dimulakan pada 16 April 2023 dengan perbelanjaan sebanyak BND100,000 sebulan.
Kedua, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah di kawasan ‘hotspot’ di seluruh daerah yang dimulakan pada tahun 2021, dengan perbelanjaan setakat ini berjumlah BND360,000.
Ketiga, penaiktarafan tapak pengumpulan sampah melalui pemasangan LED Solar Signage di beberapa lokasi, termasuk di Kampong Lumapas dan Jalan Binglu, Perumahan Negara Meragang, yang telah siap dilaksanakan pada Disember 2025.
Keempat, pemasangan peralatan pemantauan kualiti udara yang siap dilaksanakan pada 8 Januari 2025 dan ditempatkan di Stesen Kualiti Udara Anggerek Desa (Daerah Brunei Muara), Bukit Beruang (Daerah Tutong), Pekan Bangar (Daerah Temburong) dan Kampung Pandan (Daerah Belait).
Kelima, kemajuan perancangan loji Waste-to-Energy melalui proses Request for Quotation (RFQ) dan Request for Proposal (RFP) yang kini dalam proses tawaran, dengan tempoh tawaran dilanjutkan daripada 3 Februari 2026 sehingga 5 Mei 2026.
Keenam, pelaksanaan program kesedaran alam sekitar secara berterusan termasuk inisiatif Eco Food Waste yang telah dimulakan pada 27 Februari 2025.
Yang Berhormat menegaskan bahawa kesemua inisiatif ini merupakan antara langkah berterusan kerajaan dalam memastikan aspirasi negara bersih dan bumi hijau dapat direalisasikan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


