11.08.26 Projek Perumahan Negara Mengguna Pakai Kaedah IBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos 2026 – Projek-projek Perumahan Negara kini telah mengguna pakai kaedah Industrialised Building System (IBS) sebagai salah satu keperluan dalam Employer’s Requirements.

Kaedah ini menggunakan teknologi pembinaan moden, termasuk sistem hibrid yang menggabungkan aluminium formwork system dan precast components bagi elemen tertentu bangunan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, menjelaskan perkara itu semasa menjawab pertanyaan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing berkenaan dengan rumah cekap tenaga dan mesra alam khususnya bagi di Rancangan Perumahan Negara (RPN) pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Jelas Yang Berhormat lagi, selain meningkatkan kualiti dan mempercepatkan tempoh pembinaan, penggunaan IBS juga membantu mengurangkan pembaziran bahan binaan, penggunaan sumber di tapak serta pelepasan karbon semasa proses pembinaan.

Justeru itu tegas Yang Berhormat, pihak Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) akan terus menjalankan kajian terhadap penggunaan teknologi pembinaan moden seperti modular atau prefabricated houses, termasuk sistem panel Polyurethane (PU) daripada pembekal tempatan dan sistem Prefabricated Monolithic Hybrid Beam-Column Frame Structure (PHF Building System) daripada pembekal luar negara.

Yang Berhormat menyatakan, teknologi-teknologi ini berpotensi mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan pembinaan serta menghasilkan rumah yang lebih mampan dalam jangka panjang. Malahan, bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan kos utiliti, rumah-rumah di bawah projek Perumahan Negara yang baharu juga dilengkapi dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga.

Di samping itu kata Yang Berhormat, pihak JKP turut mengkaji pelaksanaan ciri-ciri tambahan yang menyokong kecekapan sumber, seperti penggunaan kelengkapan paip yang menjimatkan penggunaan air (water-saving fittings), sistem rainwater harvesting bagi setiap rumah, serta penggunaan lampu luar dan lampu jalan berkuasa solar di kawasan perumahan, tertakluk kepada kesesuaian teknikal dan peruntukan kewangan.

Menurut Yang Berhormat lagi, pihak JKP juga sedang diusahakan untuk memenuhi penarafan bangunan hijau, termasuk memperoleh penarafan Gold di bawah sistem penilaian bangunan hijau yang berkaitan.

Sebagai langkah kehadapan ujar Yang Berhormat, kementerian akan terus menilai kesesuaian pelaksanaan dasar, piawaian dan teknologi baharu yang dapat menggalakkan pembinaan rumah yang lebih cekap tenaga, mesra alam dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Negara Brunei Darussalam serta kemampuan peruntukan kewangan kerajaan dan kemampuan pemilik rumah.

(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)

BERITA TERKINI