BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Ogos. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah mengadakan kunjungan hormat bersama Speaker Parlimen daripada dua negara sahabat secara berasingan dan perjumpaan serta lawatan ke ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), yang mana merupakan antara program dalam rangka lawatan Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN ke Jakarta, Republik Indonesia bagi menghadiri Sidang Bersama (Joint Annual Session) di antara Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI).
Semasa kunjungan hormat bersama Ketua DPR RI, Yang Berhormat Dr. (H.C.) Puan Maharani, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengesahkan semula hubungan rapat yang telah terjalin sejak sekian lama di antara kedua-dua buah negara dan berharap hubungan dua hala akan terus dapat diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut merakamkan ucapan penghargaan atas jemputan yang dihulurkan bagi menghadiri Sidang Bersama (Joint Annual Session) di antara DPR RI dan DPD RI serta ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia Ke-80.
Kunjungan hormat berlangsung di Gedung Nusantara, Kompleks Parlimen, Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.
Sementara itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN juga telah mengadakan kunjungan hormat bersama Speaker of the Parliament of Singapore, Yang Berhormat Seah Kian Peng.
Kedua-dua belah pihak mengesahkan semula hubungan rapat dan istimewa yang telah terjalin sejak sekian lama dan berharap hubungan dua hala akan terus diperkukuh, terutama sekali di antara kedua-dua buah badan perundangan menerusi kerjasama dan perkongsian pengalaman dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.
Kunjungan hormat berlangsung pada Jumaat, 15 Ogos 2025 di sebuah hotel di Jakarta, Republik Indonesia.
Turut hadir semasa kedua-dua kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN juga berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan dan lawatan ke Sekretariat AIPA, yang diterima oleh Puan Yang Terutama Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Semasa perjumpaan, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN telah mendengarkan perkembangan-perkembangan AIPA serta persediaan-persediaan yang berkaitan bagi Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 yang akan diadakan pada bulan September nanti.
Juga hadir, Jurutulis Majlis Mesyuarat Diraja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah. Lawatan diadakan di Sekretariat AIPA, Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




