13.08.25 Memperkukuh kerjasama, membina masa depan inklusif untuk generasi akan datang

BERAKAS, Rabu, 13 Ogos. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, petang tadi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Young Parliamentarians of AIPA (YPA-AIPA), Parlimen Malaysia, diketuai oleh Ahli Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, selaku Pengerusi Komiti Young Parliamentarians of AIPA (YPA), bertempat di Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Rombongan turut disertai oleh dua Ahli Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; dan Yang Berhormat Senator Roderick, serta pegawai-pegawai Urus Setia Parlimen Malaysia.

Hadir sama pada maljlis berkenaan, Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.

Semasa kunjungan hormat berkenaan, kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai peranan pemimpin muda termasuk Ahli-ahli Parlimen sebagai saluran kepada generasi muda dalam menyuarakan pandangan dan menyumbang kepada pembangunan negara dan serantau.

Perbincangan turut menyentuh isu pendidikan termasuk pengangguran dan jurang dalam peluang pekerjaan.

Negara Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini menawarkan pelbagai program dan kursus, termasuk dalam bidang teknologi dan Kecerdasan Buatan (Al) bagi meningkatkan kemahiran rakyat di rantau ASEAN.

Kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dan membina masa depan yang lebih inklusif untuk generasi yang akan datang.

Kunjungan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif komiti YPA-AIPA, Parlimen Malaysia yang mengadakan siri lawatan kerja ke Parlimen Negara-negara Ahli AIPA menjelang Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 yang dipengerusikan oleh Parlimen Malaysia pada September nanti.

Usaha berkenaan antara lain bertujuan memperkukuh diplomasi parlimen, memupuk kepimpinan belia dan mengeratkan hubungan antara Ahli Parlimen muda di rantau ini melalui dialog dan pertukaran pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI