21.09.25 Memperkukuh hubungan parlimen serantau, membina komuniti lebih inklusif

KUALA LUMPUR, Ahad, 21 September. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-46 dihoskan oleh Parlimen Malaysia pada 16 hingga 22 September 2025, bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, Malaysia.

Perhimpunan pada tahun ini memfokuskan kepada tema ‘Parliament at the Forefront for Inclusive Growth and Sustainable ASEAN’.

Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan disertai oleh 12 Ahli MMN.

Hadir bersama ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah serta pegawai-pegawai dari Urus Setia MMN.

Sepanjang tempoh lima hari, Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 telah bersidang dalam membincangkan dan meluluskan sebanyak 42 buah resolusi merentasi enam Jawatankuasa Tetap, iaitu politik, ekonomi, sosial, Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA), Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) dan Organisasi.

Resolusi-resolusi yang diluluskan mencerminkan komitmen bersama AIPA dalam menangani cabaran serantau, memperkukuh daya tahan serta menggalakkan keterhubungan demi manfaat rakyat ASEAN.

Hasil perhimpunan menandakan satu pencapaian baharu bagi Perhimpunan Agung dengan jumlah resolusi tertinggi yang diterima pakai pada tahun ini. Komiti Politik telah membincangkan antara lain inisiatif keamanan, kerjasama menentang jenayah siber, peranan Parlimen dalam mempertahankan hak asasi manusia, pengawasan kesan perubahan iklim dan situasi kemanusiaan.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

Komiti Ekonomi memberi tumpuan kepada pelaksanaan AEC Blueprint 2025, pembangunan ekonomi hijau dan biru (green and blue economies), perdagangan karbon, kesan tarif global, perdagangan intra-ASEAN, keselamatan tenaga serta transformasi ekonomi digital.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Yang Berhormat Awang Lau How Teck dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

Sementara, Komiti Sosial membincangkan perlindungan sosial dalam menghadapi krisis iklim, kawalan minuman beralkohol, piawaian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), penjagaan kesihatan yang berkualiti serta tindakan bersepadu menangani isu dadah.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam dan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.

Manakala, Komiti WAIPA pula mengesahkan resolusi berkaitan penyertaan politik wanita, pembangunan ‘care economy’ serta usaha memperkukuh kemahiran digital wanita bagi merapatkan jurang digital gender.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam dan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Sementara, Komiti Ahli YPA menekankan peranan belia dalam politik dan kepimpinan, penglibatan dalam peralihan digital, serta sumbangan terhadap pembangunan ekonomi inklusif. Mesyuarat turut menyoroti lawatan kerja pertama YPA-AIPA dan Roundtable Discussion : Youth in Action.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

Komiti Organisasi pula meluluskan resolusi berkaitan pentadbiran AIPA termasuk laporan kewangan, belanjawan tahunan serta inisiatif-inisiatif tahunan AIPA. Mesyuarat juga membincangkan pindaan kepada statut, penganugerahan AIPA ‘distinguished award’ dan lantikan Setiausaha Agung AIPA baharu.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dan Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini.  

Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 turut mengadakan Sesi Dialog bersama 14 Parlimen Pemerhati AIPA dengan tema ‘ASEAN Centrality : Catalysing an Inclusive Regional Architecture for a Sustainable Future’.

Dialog berkenaan telah mengadakan pertukaran pandangan yang substantif terhadap kerjasama ekonomi, tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, teknologi hijau dan perdagangan mampan.

Sidang Plenari Kedua diadakan pada 20 September 2025 dengan pembentangan laporan pencapaian Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Komiti-komiti dan diakhiri dengan persetujuan melalui penandatanganan sebuah Kenyataan Bersama (Joint Communique).

Menutup tirai Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 tahun ini, majlis penutup telah berlangsung dengan menyaksikan penyerahan Pengerusi AIPA dari Malaysia kepada Republik Filipina selaku tuan rumah Perhimpunan Agung Ke-47 pada tahun hadapan.

Pada majlis penutup, penyerahan tugas Setiausaha Agung AIPA turut diadakan antara Setiausaha Agung AIPA, Puan Yang Terutama Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman dari NBD kepada Setiausaha Agung baharu, Dr. Chem Widhya dari Cambodia

Penyertaan MMN dalam Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 mencerminkan sokongan serta usaha berterusan NBD dalam memperkukuh hubungan antara parlimen serantau, seiring dengan usaha ASEAN membina komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

BERITA TERKINI