Hubungan NBD – UK terus diperkukuh, fokus kerjasama pelbagai bidang

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 4 September. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Ken O’Flaherty, hari ini.

Pertemuan yang diadakan di Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat tersebut menekankan hubungan dua hala yang erat antara NBD dan United Kingdom yang telah terjalin sejak sebelum kemerdekaan negara ini.

Kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai kerjasama di semua peringkat serta hubungan mesra rakyat (‘people-to-people’) yang terus memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.

Selain itu, kerjasama dalam pelbagai bidang turut menjadi tumpuan, di samping usaha memperkukuhkan hubungan antara Parlimen melalui perkongsian maklumat dan pengalaman.

Pertukaran pandangan juga merangkumi isu-isu global seperti perubahan iklim dan kepelbagaian ekonomi dengan harapan dapat memperluaskan lagi ruang kerjasama pada masa hadapan.

Turut hadir semasa Kunjungan Hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

BERITA TERKINI