SEJAK didirikan pada tahun 2007, Bangunan Dewan Majlis berperanan sebagai pusat persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), sebuah institusi yang menjadi wahana utama dalam membincangkan dasar-dasar negara ke arah pencapaian kemakmuran, kemajuan, keamanan, dan kesejahteraan rakyat serta Negara Brunei Darussalam.
Dari sudut seni bina, reka bentuk bangunan ini mengekalkan keunggulan warisan seni bangsa yang telah berkembang sejak berkurun lamanya, berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja (MIB). Kubah utama yang mendominasi struktur bangunan ini melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara, manakala reka bentuk bumbungnya mencerminkan adat istiadat serta kebudayaan Melayu yang luhur.
Lima bulatan kecil di atas kubah utama melambangkan Rukun Islam yang menjadi teras pegangan umat Islam di Negara ini. Sementara itu, struktur tiang-tiang di bahagian luar bangunan mencerminkan tahun-tahun bersejarah bagi negara, khususnya pelaksanaan Perlembagaan Negara Brunei pada tahun 1959.
Pintu utama bangunan ini pula dihiasi dengan ukiran unik berasaskan cop mohor Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin seperti air mulih, rawa-rawa dan bunga karamunting, yang melambangkan keindahan serta keunikan seni ukiran Brunei. Tiang-tiang dalam bangunan Dewan Majlis pula menjadi simbol kepada tahun kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1984, menandakan detik bersejarah negara mencapai kedaulatan sepenuhnya.
Keagungan seni dan sejarah negara turut dipaparkan melalui mural tembaga tulen yang menggambarkan peristiwa penting seperti Perjanjian Persahabatan antara Brunei dan Britain yang ditandatangani pada 7 Januari 1979 serta Perjanjian Perlembagaan Bertulis Brunei pada 29 September 1959.
Slogan ‘Adil Laila Bahagia’ pula melambangkan Negara Brunei Darussalam kekal sebagai sebuah kerajaan berperlembagaan dan sistem perundangannya yang adil, berdaulat, aman, makmur dan penuh kebahagian, tetap kukuh dan utuh di bawah naungan serta rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.
Ukiran-ukiran halus dan reka bentuk yang menggambarkan keindahan budaya Melayu Brunei menghiasi ruang dalaman dewan persidangan. Keindahan kain tenunan Brunei yang penuh kehalusan dan keunikan menghiasi dinding dewan majlis, memperkayakan suasana dengan unsur tradisi yang mempesona. Sementara itu, ukiran bunga yang diilhamkan daripada reka bentuk duit syiling Brunei disusun di sekitar dewan.
Manakala dalam mencerminkan semangat muzakarah yang berlandaskan keharmonian, perpaduan dan sikap saling menghormati, tempat duduk ahli Majlis Mesyuarat Negara dibentuk dalam susunan ladam (U-Shape).
Cokmar
Cokmar merupakan tonggak yang diperbuat daripada logam yang diukir indah, digunakan sebagai tanda kebesaran atau kekuasaan dalam upacara tertentu, seperti sewaktu memulakan sidang parlimen. Dalam Persidangan tersebut ianya dibawa oleh tiga orang Bentara Dewan yang berpakaian lengkap, iaitu seorang mengangkat cokmar tersebut manakala dua yang lainnya menjadi pengapit mengiringi pembawa cokmar tersebut di sebelah kiri dan kanan pembawa cokmar.
Dalam satu wawancara bersama Bentara Dewan di Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Awang Haji Julkafili bin Rais telah menjawat jawatan ini selama 15 tahun yang mana tahun ini adalah tahun terakhir beliau berkhidmat. Selain ditugaskan untuk membawa cokmar semasa MMN bersidang, beliau juga berperanan sebagai penyelia yang menjaga keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.
“Syukur Alhamdulilah, sepanjang saya menjadi Bentara Dewan yang menyelia keselamatan semasa persidangan MMN, tidak ada kejadian yang mencemaskan berlaku. Hanya perkara kecil-kecilan sahaja berlaku dan bukan seperti perkara yang terjadi di persidangan luar negara kerana segala perbahasan yang dijalankan sepanjang MMN dilakukan secara bermuzakarah,” ujar beliau.
Berkhidmat sejak tahun 2010, beliau banyak mempelajari tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Bentara Dewan termasuk menjaga tatatertib orang ramai daripada segi berpakaian, kelakuan dan barang-barang yang ditegah masuk ke dalam dewan.
“Bagi pelapis Bentara Dewan yang baharu diharap akan mengetahui lebih mendalam lagi mengenai latar belakang keselamatan agar ia mudah untuk mengendali keselamatan semasa persidangan berlangsung,” jelasnya.
Di luar persidangan, beliau juga bertugas sebagai jurupandu semasa sesi lawatan di Dewan Majlis. Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berharap MMN akan terus berkembang dan mengalu-alukan orang ramai untuk mengadakan sesi lawatan bagi memahami lebih lagi mengenai apa yang dimaksudkan dengan MMN.
Peranan Cokmar
Cokmar merupakan lambang kekuasaan dalam permesyuaratan ataupun ketika permesyuaratan diadakan. Ketika Perasmian Permesyuaratan dijalankan, Cokmar diangkat dan dibawa mendahului masuk ke dalam Dewan Mesyuarat, dibawa oleh Bentara dan diikuti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diiringi oleh Yang Di-Pertua Dewan dan Jurutulis.
Setiap kali permesyuaratan ataupun persidangan dijalankan, Cokmar dibawa masuk ke dalam Dewan oleh Bentara dan diiringi oleh Yang Di-Pertua Dewan dan Jurutulis, dan akan diletakkan di tempat khas berhadapan dengan tempat duduk Jurutulis, begitu juga halnya apabila permesyuaratan ditangguhkan, Cokmar ini akan dibawa keluar dari Dewan dan diiringi juga oleh Yang Di-Pertua Dewan dan Jurutulis.
Cokmar ini dihasilkan oleh Tukang-Tukang Perak yang mahir berasal dari Kampong Sungai Kedayan iaitu Allahyarham Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Seri Utama Haji Awang Abd. Rahman bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Mohd. Taha, Allahyarham Haji Awang Halim bin Tarif, Awang Haji Awang Mohd. Tahir bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar dan Allahyarham Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Awang Md. Taha bin Pehin Orang Kaya Ratna Diraja Awang Hussin
Cokmar ini berukuran 800sm panjang dan ianya siap dihasilkan pada tahun 1959 dengan perbelanjaan sebanyak BND12,000.00. Dihasilkan dengan penuh teliti dan ukirannya mempunyai maksud-maksudnya yang tertentu yang berhubung kait dengan Negara Brunei Darussalam.
Rencana oleh: Nurul Rasyidah Mohamad Rosland dengan kerjasama Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Foto: Jabatan Penerangan, Ihsan: Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat