BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Februari. - Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Sesi Muzakarah di antara Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku pengerusi semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei berserta ketua-ketua jabatan dan bahagian Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Manakala rombongan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, yang mana juga telah menyampaikan ucapan balas semasa permuzakarahan tersebut.
Sesi Muzakarah tersebut merupakan sebuah platform perbincangan serta bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan secara konstruktif mengenai kedudukan fiskal negara, perkembangan ekonomi negara dan usaha pempelbagaian ekonomi.
Dalam pada masa yang sama, Yang Berhormat Pengerusi Majlis juga menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama bagi semua pihak termasuk sektor kerajaan, sektor swasta dan masyarakat melalui pendekatan Whole of Nation Approach untuk sama-sama berganding bahu bagi mencapai ekonomi dinamik yang mampan.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)