Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Memperkukuh piawaian dalam perhubungan awam

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Dalam interaksi dan perbualan dengan pelbagai jabatan di seluruh kementerian, adalah jelas bahawa pentingnya keperluan tindakan kerjasama yang lebih padu dan ketara antara semua pihak dalam kementerian.

 

Synergy dan kerjasama sedemikian adalah amat penting bagi mengelakkan kehadiran dasar yang tidak produktif yang boleh menghalang inisiatif pihak kerajaan secara kolektif.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee melahirkan harapan dan tidak sabar untuk menyaksikan penyejajaran yang lebih kohesif dan mantap dalam semua kementerian yang akan mengukuhkan asas dan landasan kita serta mendorong semua pihak untuk mencapai objektif bersama dengan lebih cekap dan produktif.

 

“Memandangkan peningkatan kebergantungan agensi-agensi kerajaan terhadap media sosial dalam membarigakan pemberitahuan dan penglibatan awam, ditambah lagi dengan kepentingan kaji selidik dalam memahami pendapat orang ramai bagi membuat dasar atau 'policy-making', terdapat kebimbangan yang ketara mengenai keberkesanan dan pengurusan profesional platform ini.

 

Meskipun dengan adanya usaha terbaik daripada agensi-agensi kerajaan, nampaknya kaedah semasa yang melibatkan media sosial, dan dengan menjalankan kaji selidik, mungkin masih tidak mencukupi untuk mengesan dan mencapai sasaran serta kehendak demografi yang diperlukan.

 

Walaupun sesetengah jabatan telah menjalankan usaha mereka dengan baik, komunikasi dalam media sosial yang kurang berkesan, boleh membawa kepada salah tanggapan atau interpretasi orang ramai tentang 'stagnation' atau kurangnya kemajuan, sehingga menjejaskan usaha gigih pegawai-pegawai dari jabatan," ujar Yang Berhormat Chong Chin Yee semasa menyuarakan perkara tersebut pada ucapan penangguhan dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN yang bersidang pada hari ke-18 di Dewan Bangunan MMN, di sini.

 

Oleh demikian, Yang Berhormat menyarankan supaya agensi kerajaan menggariskan langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan para pegawai di semua kementerian dalam menguruskan media sosial, dan menjalankan kaji selidik dengan lebih berkesan.

 

Yang Berhormat turut menyarankan supaya ditubuhkan sebuah akademi untuk meningkatkan piawaian dalam perhubungan awam. Dalam konteks cita-cita kita untuk menjadikan sebuah negara yang 'Smart Nation', adalah penting untuk mempertimbangkan kajian semula bagi asas kurikulum ICT di Kementerian Pendidikan iaitu dicadangkan agar pendedahannya dimulakan seawal peringkat sekolah rendah.

 

Inisiatif tersebut terang Yang Berhormat, amat penting untuk mempersiapkan dan melengkapkan generasi akan datang dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membantu ke arah, serta menyumbang kepada perubahan dunia yang semakin digital.

 

“Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan perpaduan, demi matlamat dan hala tuju yang jelas dalam usaha ini serta komited sepenuhnya dalam merealisasikan wawasan kita, untuk pencapaian dan kemajuan negara. Dengan kerjasama yang kukuh dari semua pihak, kita pasti dapat mencapai kemajuan yang amat signifikan dan menetapkan landasan yang kukuh bagi masa depan yang sejahtera dan inovatif untuk Negara Brunei Darussalam," tambah Yang Berhormat dalam mengakhiri ucapannya.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24 Memperkukuh piawaian dalam perhubungan awam