Dalam
titah baginda, Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik juga disarankan
untuk membuat inisiatif-inisiatif masing-masing ke arah membantu
kerajaan baginda dalam menjana peluang-peluang pekerjaan,
mempertingkatkan sektor-sektor perekonomian dan pembangunan kapasiti
sumber tenaga manusia, termasuk di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan
dan golongan-golongan tertentu yang lain.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian semasa berkenan berangkat
menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim
Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat negara (MMN) yang berlangsung di
Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Dalam
titah tersebut, baginda difahamkan bahawa menerusi Laporan ASEAN Plus
Three Macroeconomic Research Office (AMRO), telah diramalkan bahawa
ekonomi negara akan mengukuh kepada 2.4 peratus pada tahun 2024, yang
diterajui oleh sektor Bukan Minyak dan Gas, melalui aktiviti
perekonomian dalam sub-sektor pertanian, makanan, kewangan, pengangkutan
dan pelancongan, serta perluasan aktiviti dalam sektor penapisan minyak
dan gas hiliran.
Baginda
juga telah difahamkan bahawa beberapa usaha mempelbagaikan ekonomi
telah pun dilaksanakan, namun masih saja belum mencukupi untuk
mengimbangi kedudukan defisit fiskal kerajaan.
Tetapi
apapun keadaan tegas baginda, pada hakikatnya kita tidak dapat lagi
terlalu bergantung kepada semata-mata sektor Minyak dan Gas, kerana
terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita seperti penurunan
pengeluaran minyak dan gas dan harga pasaran global minyak dan gas yang
tidak menentu.
Kebawah
DYMM seterusnya bertitah menekankan bahawa usaha-usaha perlulah
diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mempelbagaikan ekonomi serta
memberikan tumpuan kepada industri-industri strategik, di mana negara
mempunyai potensi dan kekuatan untuk lebih berjaya.
Pada
masa yang sama titah baginda, isu-isu semasa seperti isu alam sekitar,
perubahan iklim dan sebagainya juga perlu diberikan perhatian.
Namun
apapun berlaku, Kebawah DYMM menegaskan hala tuju pengeluaran minyak
dan gas mesti diaktifkan dan industri hiliran minyak dan gas
dikembangkan serta bekalan tenaga elektrik dan bahan api terus
diutamakan.
“Dari segi perbelanjaan kerajaan pula, ianya dilihat semakin meningkat tahun demi tahun.
“Namun demikian, alhamdulillah, Kerajaan beta masih mampu untuk menyediakan sejumlah belanjawan bagi keperluan pembangunan.
“Apa
yang penting di sini ialah, setiap agensi Kerajaan beta hendaklah
menggunakan peruntukan yang disediakan dengan lebih berhemah untuk
meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi penduduk dan rakyat negara ini,"
titah baginda.