​Persidangan Majlis Mesyuarat tahun ini
akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang
(2024) Perbekalan, 2024 / 2025, melalui tiga peringkat sebelum ia dapat
diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April
2024.
Sehubungan
itu, Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim
Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1445
Hijrah / 2024 Masihi telah berlangsung hari ini dan berkenan
disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan
Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Berangkat
sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee
Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar
Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri
Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri
Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong
Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan
tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja di Bangunan Dewan
Majlis, Jalan Dewan Majlis dijunjung oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul
Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan Jurutulis Majlis Mesyuarat
Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan
Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia
Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Keberangkatan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memasuki Dewan Persidangan didahului
dengan perarakan masuk Cokmar MMN. Kebawah Duli Yang Maha Mulia
seterusnya berkenan mengurniakan titah sebagai tanda bermulanya
Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN.
Bagi
memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang
Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz
Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Terdahulu,
sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi berlangsung, Persidangan MMN bersidang
untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan Mesyuarat Pertama dari
Musim Permesyuaratan Ke-19 MMN, Negara Brunei Darussalam yang telah
bersidang selama 18 hari mulai 2 hingga 28 Mac 2023.
Persidangan
tersebut kemudiannya ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi
Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN dan Sesi
Persidangan MMN akan disambung bersidang pada Rabu, 28 Februari bermula
pada pukul 9.30 pagi.
Persidangan
MMN akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman dan dibantu
oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat
Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini.
Sesi
Persidangan MMN ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk
melihat dan mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan
Persidangan MMN. Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi
pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada
penuntut-penuntut atau mahasiswa / mahasiswi mengenai tatacara
membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan
dengan ini, orang ramai yang berminat untuk menghadiri Sesi Persidangan
adalah dipohonkan untuk mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu
persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara memasuki
Dewan Persidangan. Bagi orang ramai yang memerlukan perkhidmatan
peralihan bahasa (translation) bolehlah memohonkan kepada Urus Setia MMN
Ke-20 iaitu 24 jam sebelum ia diperlukan.
Rakaman
persidangan harian juga boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan
RTB Sukmaindera pada pukul 9.00 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti
lagi pada pukul 11.00 malam bagi rakaman sesi petang. Laporan harian
juga boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MMN
'www.majlis-mesyuarat.gov.bn' dan 'www.councils.gov.bn'.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)​