Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

26.02.24 Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Februari. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini menerima kunjungan hormat daripada Secretary General of the National Assembly Secretariat of Republic of Korea, Tuan Yang Terutama Jae Hyun Baek.

Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

Tuan Yang Terutama disertai oleh rombongan seramai tujuh orang delegasi dari National Assembly Secretariat of Republic of Korea.

Turut hadir sama dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah; berserta Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin; dan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir.

Kedua-dua belah pihak merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin sejak lamanya dan berharap ia akan sentiasa berkembang dan dapat diperkukuh lagi.​

Antara lain, kedua-dua pihak juga menyentuh mengenai sistem pendidikan yang dibangunkan di kedua-dua negara berdasarkan konteks dan keperluan negara yang penuh semangat.

Keterlibatan dalam bidang pendidikan dilihat sebagai landasan yang amat penting dalam pembangunan negara dan rakyat.

Majlis kunjungan hormat juga diselajurkan dengan sesi dialog antara rombongan National Assembly Secretariat of Republic of Korea bersama Dr. Dayang Hajah Huraini berserta Ahli-ahli MMN yang hadir.

Antara tumpuan perbincangan adalah mengenai kerjasama dua hala yang diharap dapat ditubuhkan terutamanya dalam 'people-to-people exchanges', lawatan antara kedua-dua pihak dan juga perkongsian maklumat berkenaan 'best practices' bidang-bidang yang menjadi keprihatinan kepada kedua-dua negara.

Diharapkan juga, inisiatif melalui kumpulan persahabatan parlimen berkenaan dapat ditunaikan dalam masa yang terdekat dalam mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-duanya.

Sesi berkenaan diakhiri dengan lawatan di Dewan Persidangan MMN dengan rombongan juga berkesempatan melihat persiapan untuk Persidangan MMN Ke-20 yang akan bermula pada esok hari.​

Pertemuan berkenaan menandakan kesinambungan komitmen kedua-dua negara dan melambangkan jambatan untuk memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama yang sedia ada, serta membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

26.02.24 Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat