Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

25.02.24 Masjid Kampung Putat adakan Majlis Tahlil, Doa Arwah sekampung

Hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Putat, Awang Afendi bin Haji Taha, dan diikuti dengan ucapan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohammad selaku Ketua Kampung Putat.

Yang Berhormat Awang Zainol dalam ucapannya selaku Pengerusi Bersama Majlis menjelaskan pada tahun ini wang kutipan yang berjaya dikumpulkan ialah sebanyak BND5,460 berbanding dengan jumlah pada tahun lepas iaitu BND4,859.

"Ia meningkat sebanyak BND601 daripada 70 penyertaan keluarga, kutipan ini digunakan untuk segala perbelanjaan bagi menyempurnakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah sekampung, diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim serta keperluan barang asasi mereka.

“Mengimbau kembali Majlis Tahlil dan Doa Arwah sekampung yang pertama kali diadakan adalah pada tahun 1993, iaitu kira-kira 30 tahun lepas. Majlis tersebut berlangsung sempena penubuhan Jawatankuasa Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung yang dipengerusikan bersama oleh ketua kampung pada masa itu, bersama-sama dengan Imam Masjid Kampung Putat.

“Majlis tersebut kemudian disambung pada tahun-tahun berikutnya dan disambut baik sehingga hari ini," jelas Yang Berhormat.

Konsep yang dibuat pada tahun 1994 berkenaan adalah secara bergotong-royong bagi menyediakan segala keperluan seperti mengumpulkan bahan masakan, memasak dan menghidang dilakukan oleh semua lapisan penduduk kampung, tambah Yang Berhormat lagi.

Sebelum Majlis Tahlil dan Doa Arwah sekampung ini diperkenalkan, Yang Berhormat menjelaskan, kebanyakan penduduk kampung secara lazimnya membuat acara sedemikian secara persendirian dari rumah ke rumah dan dilakukan hampir setiap minggu.

"Walaupun kita sudah berganjak pada era kemodenan, konsep bergotong-royong tidak dilupakan meskipun penyediaan makanan pada masa sekarang menggunakan perkhidmatan katering, namun insyaaAllah kesesuaian 'Calak Brunei' akan masih dikekalkan.

“Alhamdulillah, kebudayaan dan sifat Kebruneian itu masih lagi ada dalam diri kitani yang dapat dilihat dalam sama-sama menjayakan majlis ini, ia setentunya menjadi kebanggaan selaku penduduk kampung dan sebagai rakyat Brunei," ujar Yang Berhormat lagi.

Acara kemudiannya diselajurkan dengan penyampaian Sumbangan Derma Anak Yatim, Sijil Akuan Tamat Kelas Al-Quran dan Muqaddam Tahun 2023M dan Sijil Bengkel Pengurusan Jenazah bagi Muslimah Masjid yang disempurnakan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Putat, manakala Doa Selamat pula dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Sh'minan bin Haji Sulaiman.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


25.02.24 Masjid Kampung Putat adakan Majlis Tahlil, Doa Arwah sekampung