Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

24.11.22 - JMM menghadiri mesyuarat AIPA GA kali ke-43 di Phnom Penh, Kemboja

Majlis Mesyuarat Negara telahpun menghadiri Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) kali ke-43 yang dianjurkan oleh National Assembly of the Kingdom of Cambodia.  Rombongan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.  

Dalam usaha menuju Komuniti ASEAN yang mampan, sokongan, kerjasama dan perkongsian dalam kalangan semua pihak termasuk badan perundangan di ASEAN amat diperlukan dalam usaha mencapai Wawasan ASEAN Komuniti 2025.  Sehubungan dengan itu, tema Perhimpunan Agung AIPA pada tahun ini iaitu Advancing Together for Sustainable, Inclusive and Resilient ASEAN adalah bersesuaian dengan tema sidang kemuncak ASEAN dan bertepatan dengan masanya negara-negara ASEAN mencapai Wawasan ASEAN Komuniti 2025.

Dalam kenyataan perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Perhimpunan Agung AIPA ke-43, menekankan keperluan kerjasama dan kolaborasi di antara AIPA dan ASEAN demi mencapai kebaikan rakyat di rantau ASEAN.  Ahli Parlimen selaku suara rakyat mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting di dalam menjaga kesejahteraan rakyat di rantau ASEAN, terutama sekali golongan yang berkeperluan.  Perhimpunan Agung AIPA ialah sebuah platform yang dapat membuka peluang untuk Ahli Parlimen membincangkan dan mendeliberasi serta bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik mengenai isu-isu sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa dan menyeru untuk ASEAN dan AIPA supaya akan terus berusaha bagi mencari penyelesaian melalui pendekatan yang mempunyai visi yang jauh serta memartabatkan dialog yang sedia ada dan memperkasa kerjasama bersama rakan-rakan serantau dan antarabangsa dalam sama-sama memikul cabaran yang dihadapi.

Dalam Sidang Plenari Pertama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah membuat kenyataan yang menekankan pentingnya perpaduan dan sentraliti di dalam memastikan ASEAN mampu untuk mengatasi serta bertindakbalas secara berkesan terhadap cabaran-cabaran yang akan dihadapi pada masa akan datang.  Impak Covid-19 terhadap kesihatan, pendidikan dan ekonomi tidak dapat dijangkakan dan ini memerlukan perhatian yang tinggi.  Perubahan iklim, pengurusan bencana serta keselamatan makanan menjadi cabaran utama yang perlu ditangani oleh parlimen-parlimen dalam memenuhi keperluan rakyat dan penduduk.

Perhimpunan Agung AIPA dibuka rasmi oleh Yang Berhormat Samdech Akka Moha Ponhea Chakrei HENG SAMRIN, President of the National Assembly of the Kingdom of Cambodia dan President of the 43rd AIPA.  Dalam ucapan pembukaannya, beliau berucap, dalam usaha untuk mencapai rantau ASEAN yang mampan, ianya memerlukan usaha kolektif bagi mendapatkan pemulihan yang menggalakkan beberapa perkara termasuklah iklim yang berdaya tahan, peralihan tenaga bersih dan renewable, pelaburan hijau dan kewangan hijau.  Beliau menekankan bahawa badan perundangan memainkan peranan penting di dalam mempromosikan perkembangan, perlindungan alam sekitar, perkembangan ekonomi, inclusiveness dan juga kemampanan.

Sebanyak 37 resolusi telah dibincangkan dan diluluskan di dalam komiti WAIPA, Ekonomi, Sosial dan juga Organisasi.

Perhimpunan Agung diakhiri dengan penandatanganan sebuah Kenyataan Bersama (Joint Communique).  Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah dianugerahkan AIPA Distinguished Service Award atas jasa dan komitmen yang telah diberikan kepada AIPA.  Manakala Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Lela Jasa Haji Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung AIPA.​


24.11.22 - JMM menghadiri mesyuarat AIPA GA kali ke-43 di Phnom Penh, Kemboja