Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

12.05.22 Lawatan Senator Perancis ke NBD

​Hari Khamis, 12 Mei 2022, Bandar Seri Begawan – Negara Brunei Darussalam dan Negara Perancis mempunyai hubungan dua hala yang baik lagi mesra terjalin sejak lamanya dan telah menerokai peluang kerjasama dalam pelbagai bidang. Persahabatan antara kedua-dua negara sentiasa diperkukuhkan baik di peringkat antarabangsa mahupun serantau. Lawatan rasmi Tuan Yang Terutama Mr. Mathieu Darnaud, President of the French South East Asia Committee berserta rombongan ke negara ini selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mei 2022 setentunya akan mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara. 

Ketibaan TYT Mr. Mathieu Darnaud berserta rombongan telah dialu-alukan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat. Juga hadir mengalu-alukan ketibaan adalah pihak Kedutaan Republik Perancis di Negara Brunei Darussalam. TYT Mr. Mathieu Darnaud disertai oleh rombongannya terdiri dari tiga orang ahli senator dari French South East Asia Committee. 

Antara aturcara Tuan Yang Terutama dan rombongan selama berada di Negara ini termasuklah mengadakan beberapa perjumpaan iaitu bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md Hussein, Menteri Tenaga; Yang Berhormat Major Jeneral (B) Dato Paduka Seri  2 Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, Peguam Negara; dan Yang Mulia Dayang Hajah Mardiana binti Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Perjumpaan-perjumpaan tersebut merupakan satu landasan bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai hala selain dari membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama. Perjumpaan-perjumpaan tersebut juga dapat mengukuhkan lagi jalinan muhibah antara kedua-dua negara. 

TYT dan rombongan juga telah membuat lawatan ke Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja di Bandar Seri Begawan yang mana memberi peluang bagi rombongan melihat alat-alat kebesaran Diraja yang dipamerkan di muzium tersebut. Rombongan juga akan berpeluang untuk menyusuri perairan Sungai Brunei esok dan melihat keunikan Kampung Ayer yang terkenal sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di negara ini. 

12.05.22 Lawatan Senator Perancis ke NBD