BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos 2026 – Projek 30MW AC Solar Photovoltaic Power Plant yang dilaksanakan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership – PPP) sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun 2026.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II menerangkan, Kementerian Kewangan melalui Jawatankuasa Khas Pengkorporatan dan Kerjasama Awam Swasta (JKPKAS) berperanan utama sebagai pemudah cara dalam meneliti cadangan projek yang berpotensi dilaksanakan melalui pendekatan PPP.
Menurut Yang Berhormat, Kementerian Kewangan telah menyediakan Garis Panduan PPP Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai rujukan kepada agensi-agensi kerajaan dalam mengenal pasti, menilai dan menyediakan projek PPP.
Pelaksanaan projek-projek menggunakan kaedah PPP merupakan salah satu pendekatan strategik yang mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan menyediakan infrastruktur kerajaan.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek dan penyampaian perkhidmatan, malah menggalakkan pelaburan, memperkukuh penyertaan sektor swasta serta menyokong kemampanan fiskal dan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh, ujar Yang Berhormat.
Setakat Julai 2026, Yang Berhormat mengongsikan bahawa beberapa projek telah mendapat kebenaran daripada JKPKAS. Antara lain, projek utama PPP atau PPP Flagship Project bagi NBD adalah Projek 30MW AC Solar Photovoltaic Power Plant.
Projek ini menjadi penanda aras kepada kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuhkan keselamatan tenaga negara, menyokong agenda peralihan tenaga (‘energy transition’) dengan menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (‘renewable energy’) serta ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah selaras dengan sasaran Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan NBD, terang Yang Berhormat lagi.
“Alhamdulillah, projek ini telah mewujudkan 22 peluang pekerjaan bagi anak tempatan semasa fasa pembinaan dan dijangka mewujudkan lapan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan bagi operasi dan penyelenggaraan,” ujar Yang Berhormat.
Pelaksanaannya juga, jelas Yang Berhormat telah menyokong pembangunan modal insan melalui ‘technology transfer’, latihan teknikal dan peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi tenaga suria serta menyediakan program latihan industri kepada pelajar-pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi awam tempatan.
Selain itu, sebanyak BND5 juta atau kira-kira 30 peratus daripada nilai keseluruhan projek telah dianugerahkan kepada subkontraktor tempatan sekali gus merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik.
Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 2,000 buah rumah kediaman di samping mengurangkan penggunaan gas asli bagi penjanaan elektrik serta mengelakkan pelepasan ‘carbon dioxide’ bersamaan sekitar 26,000 tan metrik setiap tahun, kongsi Yang Berhormat lagi.
Terang Yang Berhormat, kerajaan turut berjaya melaksanakan projek PPP bagi pembangunan restoran di Taman Rekreasi Bukit Patoi, di Daerah Temburong yang telah mula beroperasi pada Mei 2025 dan sebuah ‘resort’ oleh Borneo Eco Resort Sdn. Bhd. di Hutan Simpan Berakas, Daerah Brunei dan Muara.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa dari aspek pekerjaan, projek restoran dan ‘resort’ ini boleh membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui operasi restoran, khidmat sokongan, bekalan bahan mentah, pembersihan, keselamatan dan penyelenggaraan.
Di samping itu, ujar Yang Berhormat, dari sudut pembangunan perniagaan tempatan (‘local business development’), restoran di kawasan rekreasi biasanya memberi kesan limpahan kepada peniaga kecil sekitar seperti pembekal makanan, minuman, hasil tani, kraftangan, dan perkhidmatan pelancongan.
(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)




