16.07.26 Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun

Bandar Seri Begawan, Hari Khamis, 16 Julai 2026 – Majlis Mesyuarat Negara petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun, bertempat di Surau, Bangunan Dewan Majlis.

Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis adalah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara. Hadirin terdiri dari Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Di-Lantik; Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara; berserta pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yaasin dan Doa Khas Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Farhan @ Awang Mohammad Ali bin Ali, Imam Tingkat I. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah.

Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran atas limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala terhadap kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Pada majlis tersebut, hadirin bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Baginda sentiasa dilimpahkan rahmat, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, usia yang diberkati serta kekal qarar memerintah di atas singgahsana, dan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta Kerabat Di-Raja sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan inayah daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

BERITA TERKINI