13.05.26 Yang Di-Pertua MMN menerima kunjungan hormat dari Pesuruhjaya Tinggi Singapura

Bandar Seri Begawan, Rabu, 13 Mei 2026 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima Kunjungan Hormat daripada Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam. Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak menekankan hubungan dua hala yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang terus diperkukuhkan melalui kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, sosial, hubungan antara rakyat dan pertukaran lawatan. Kedua-dua pihak turut menyentuh sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang mencerminkan hubungan rapat dan kukuh yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara. Perbincangan turut menyentuh kepentingan hubungan antara parlimen dalam memahami cabaran semasa dan bertukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.

Turut hadir semasa Kunjungan Hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini Binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

BERITA TERKINI