Selasa, 28 April 2026, Bangunan Dewan Majlis – Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan telah menghadiri Mesyuarat The 3rd Consultative Meeting ofYoung Parliamentarians (YPA) secara dalam talian pada 28 April 2026.
Mesyuarat YPA anjuran Dewan Perwakilan Rakyat Republik Filipina ini telahmembawa tema “ASEAN Youth: Strengthening Solidarity and Empowering Future-Ready Leaders” dan dihadiri oleh negara-negara ahli AIPA termasuk Timor-Leste.
Mesyuarat ini telah berperanan sebagai sebuah medium penting dalam memperkukuh solidariti serantau, memperkasa kepimpinan belia serta menyelaraskan perspektif mereka dalam penggubalan dasar ke arah pencapaian Wawasan ASEAN 2045 dan Matlamat Pembangunan Mampan.
Semasa Sesi Plenari, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dalam ucapannya telah mengongsikan inisiatif-inisiatif Negara Brunei Darussalam untuk memperkukuh kemahiran belia serta melahirkan generasi celik digital dengan berteraskan Wawasan Brunei 2035 dan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020 – 2035. Yang Berhormat turut menekankan kepentingan bagi mewujudkan ruang digital yang selamat dan kondusif, di samping meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi secara beretika. Selain itu, beliau juga mengetengahkan keperluan bagi menggalakkan penglibatan belia serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga telah berpeluang untuk menghadiri dua buah sesi dialog yang bertajuk “Harnessing Artificial Intelligence (AI) and Digital Literacy for ASEAN Youth” dan “Empowering Parliaments to Strengthen Mental Health Governance”. Kedua-dua sesi dialog ini telah membuka ruang bagi para delegasi untuk mendengarkan pembentangan yang disampaikan oleh perwakilan-perwakilan jemputan seperti ASEAN Foundation, National Youth Commission, dan World Health Organization Philippines dan kemudian bertukar-tukar pendapat mengenai peranan para belia dalam era digitalisasi serta keperluan untuk memperkukuh tadbir urus kesihatan mental melalui sokongan institusi parlimen.




