17.04.26 Komitmen Negara Brunei Darussalam memupuk keamanan, menggalakkan keharmonian sosial dan memajukan pembangunan mampan

Jumaat, 17 April 2026, Istanbul, TURKIYE – Delegasi Majlis Mesyuarat Negara menghadiri Perhimpunan Agung Inter-Parliamentary Union (IPU) ke-152 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye pada 15 hingga 19 April 2026.

Dalam sesi perbahasan perhimpunan yang berkaitan tema Perhimpunan iaitu “Memupuk Harapan, Menjamin Keamanan dan Menegakkan Keadilan untuk Generasi Akan Datang” (Nurturing hope, securing peace and ensuring justice for future generations), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku ketua rombongan telah menyampaikan kenyataan rasmi.

Yang Berhormat menyampaikan bahawa berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara tetap teguh dalam memupuk keamanan, mempromosikan keharmonian sosial, dan memajukan pembangunan mampan. Kenyataan tersebut juga menekankan akan peranan penting tadbir urus yang telus, pembangunan mampan serta pelaburan dalam belia sebagai asas membina masa depan yang inklusif.

Kenyataan Brunei Darussalam juga memberikan penekanan khusus terhadap situasi kemanusiaan yang membimbangkan di Timur Tengah, khususnya di Palestin. Yang Berhormat menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kehilangan nyawa dan kemusnahan infrastruktur asas yang menjejaskan kehidupan harian rakyat. Sehubungan itu, Yang Berhormat menggesa bagi pemberhentian segera keganasan, perlindungan penuh terhadap orang awam, serta memastikan akses bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan.

Yang Berhormat menegaskan bahawa penyelesaian yang adil dan berkekalan perlu berlandaskan undang-undang antarabangsa, menghormati hak asasi manusia dan keselamatan rakyat terutamanya di Gaza. Ke arah itu, Negara Brunei Darussalam menegaskan sokongan berterusan terhadap multilateralisme serta usaha kolektif masyarakat antarabangsa dalam memastikan keamanan, keadilan, dan kestabilan global demi generasi akan datang.

Perhimpunan Agung IPU ke-152 menghimpunkan 2,000 ahli parlimen dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu global berkaitan keamanan, hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik. Majlis Mesyuarat Negara diwakili oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Delegasi Majils Mesyuarat Negara telah menghadiri beberapa sesi Jawatankuasa Tetap (Standing Committee) yang berkaitan dengan Pembangunan Mampan (Sustainable Development), Keamanan Dan Keselamatan Dunia (Peace and International Security) dan Hal Ehwal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Affairs). Ahli-Ahli Yang Berhormat juga menyertai mesyuarat dan forum khas termasuk Forum Ahli Parlimen Wanita (Forum of Women Parliamentarians), Forum Ahli Parlimen Muda (Forum of Young Parliamentarians), Mesyuarat Kedua Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin (2nd Meeting of the Group of Parliaments in Support of Palestine) dan sesi Special session on advancing the two-State solution for Israel and Palestine. Turut hadir Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara yang menghadiri Mesyuarat Association of Secretaries General of Parliaments (ASGP).

BERITA TERKINI