BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Perbelanjaan kerajaan sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan pentadbiran negara serta menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
Namun demikian, pertumbuhan ekonomi negara, dalam jangka masa panjang, juga perlu diperkukuhkan melalui perkembangan sektor swasta serta pembangunan industri domestik yang lebih dinamik.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun Kewangan 2026/2027 pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat melihat bahawa sektor pertanian dan akuakultur mempunyai potensi yang semakin signifikan untuk berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi strategik negara.
“Kaola mengambil maklum melalui pembentangan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan bahawa beberapa projek telah disediakan peruntukan bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan akuakultur.
“Antara rancangan pembangunan industri ternakan bagi menjana pengeluaran industri ternakan udang fasa empat, serta projek memajukan tapak-tapak industri akuakultur yang bertujuan meningkatkan aktiviti perekonomian dalam negara.
“Pada pandangan kaola, projek-projek seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada pengeluaran makanan domestik tetapi juga mempunyai potensi yang besar untuk menjana peluang ekonomi baharu kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dalam sektor makanan,” kata Yang Berhormat.
Di samping itu, Yang Berhormat juga mengambil maklum mengenai projek Brunei Aquaculture Innovation Centre yang akan menjadi pusat penyelidikan dan inovasi bagi memperkukuhkan pembangunan industri akuakultur negara.
“Pada pandangan kaola, penyediaan infrastruktur penyelidikan seperti ini amat penting bagi memastikan sektor makanan negara mampu berkembang secara lebih moden, produktif dan berdaya saing,” ujar Yang Berhormat.
Dalam konteks pembangunan ekonomi negara, sektor makanan tidak lagi hanya dilihat dari sudut sekuriti makanan semata-mata tetapi semakin berpotensi untuk berkembang sebagai industri ekonomi bernilai tinggi.
Dengan adanya pembangunan rantaian nilai yang lebih menyeluruh meliputi pengeluaran, pemprosesan, logistik serta pemasaran, sektor berkenaan berpotensi untuk berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi yang menyumbang kepada pempelbagaian ekonomi Brunei.
“Kaola mengambil maklum bahawa kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur asas seperti projek menggantikan paip-paip serta menaikkan taraf loji-loji di lautan, air bagi meningkatkan asas kepada bekalan air bersih kepada rakyat serta memastikan kesediaan infrastruktur bagi menyokong tapak-tapak industri.
“Kemudahan asas seperti ini amat penting dalam memastikan sektor industri dan perusahaan tempatan dapat berkembang dengan lebih lancar serta mampu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” ujar Yang Berhormat.
Di samping itu, Yang Berhormat turut mengambil maklum mengenai projek infrastruktur yang menyokong aktiviti perindustrian termasuk pembinaan jejambat di persimpangan Lebuh Raya Muara-Tutong, di Kawasan Perindustrian Tanjung Kajar yang bertujuan untuk memperkukuhkan asas kepada kawasan perindustrian serta menyokong aktiviti perusahaan dan tempatan.
“Pada pandangan kaola, pembangunan infrastruktur seperti ini amat signifikan kerana ini bukan sahaja memudahkan aktiviti ekonomi tetapi juga turut menyumbang kepada peningkatan kecekapan logistik dan pergerakan barang.
“Secara seluruhnya, kaola melihat bahawa projek pembangunan dan yang dirancang melalui Kumpulanwang Kemajuan ini mempunyai potensi besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi,” kata Yang Berhormat.
Dengan penyelarasan yang kukuh antara kementerian, sektor swasta serta para pengusaha tempatan, Yang Berhormat percaya usaha-usaha tersebut akan dapat memberikan kesan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada negara.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




