BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin berkata, dalam perbahasan mengiktiraf dan akur pelbagai usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menyediakan belanjawan tahunan yang bertema ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’.
Menyentuh mengenai golongan anak muda daripada belanjawan ini, Yang Berhormat berkata sering kali terdengar tanggapan bahawa belia ‘kitani’ terlalu memilih pekerjaan, namun perbualan bersama dengan ramai anak muda, menunjukkan gambaran yang berbeza.
“Ramai di antara mereka sebenarnya berusaha memohon pelbagai peluang untuk mencari pekerjaan dengan harapan untuk mendapatkan apa-apa saja jenis pekerjaan, sama ada kerja sementara dalam ‘gig’ atau membuka ‘pop-up business’.
“Bukan saja untuk menyara hidup sendiri, tapi untuk berhasrat menyumbangkan, membalas baik budi ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka, agar mereka tidak terus menjadi beban. Mereka juga ingin menyumbang secara bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” ujar Yang Berhormat dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026 / 2027 dan Anggaran Kumpulanwang Kemajuan 2026 / 2027 pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Pada masa yang sama, tambah Yang Berhormat, ‘kitani’ juga melihat bahawa ramai anak muda hari ini menangguhkan perkahwinan dan daripada membentuk keluarga baru.
Kongsi Yang Berhormat lagi, salah satu faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan ini ialah tidak kepastian dari segi ekonomi dan ketidakstabilan pekerjaan mereka.
Perkara ini dapat dilihat melalui penurunan kadar kelahiran secara beransur-ansur yang telah menurut statistik daripada Department of Economic Planning and Statistics, jumlah kelahiran yang didaftarkan telah menurun dari 6,500 kelahiran pada tahun 2020 kepada 5,360 kelahiran pada tahun 2024 iaitu penurunan sebanyak 1,139 anak damit.
“Dengan pengurangan paling ketara berlaku antara tahun 2023 dan 2024 di mana menurun sebanyak 931 kelahiran. Feedback daripada beberapa pasangan muda beralasan utama adalah keadaan tahap ekonomi, memikirkan sama ada mereka mampu menyediakan kualiti kehidupan kepada anak-anak mereka seperti yang mereka nikmati semasa membesar dulu,” terang Yang Berhormat.
Sekiranya fenomena penurunan kadar kelahiran anak damit ini berterusan, Yang Berhormat menambah, ia berpotensi menimbulkan cabaran kepada kelestarian negara pada masa depan termasuk dari sudut kesinambungan generasi dan identiti kebangsaan.
Yang Berhormat juga mengambil maklum pengumuman Elaun Anak Damit sebagai pengganti kepada bantuan ‘pampers’ anak damit sebagai langkah ini adalah merupakan satu pendekatan yang bijak, kerana dapat sedikit membantu keluarga muda serta menggalakkan mereka merancang kewangan bagi keperluan anak-anak mereka.
Namun persoalannya, sejauh manakah inisiatif ini mampu mengurangkan kebimbangan pasangan muda yang memulakan atau menambah saiz keluarga mereka? Oleh itu faktor-faktor yang menyumbang kepada fenomena penurunan kadar kelahiran anak damit wajib diteliti supaya langkah-langkah yang lebih bersesuaian dapat ditimbangkan.
Walaupun ujar Yang Berhormat, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran dan kemajuan telah dicapai dengan penurunan kepada 5 ‘percent’ pada tahun 2025, angka ini masih menunjukkan keadaan yang agak amat mendatar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dalam hal ini, prospek 3,000 pekerjaan baru dari 18 FDI yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri kelmarin membawa berita yang menggembirakan. ‘No doubt’ anak ‘kitani’ masa ‘ani’ sibuk mencari internet di mana mereka akan dapat melayar untuk memohon jawatan-jawatan yang akan diiklankan. Tetapi, jumlah pekerjaan baru ini masih belum dapat menangani isu ‘underemployment unemployment’ dalam kalangan mereka.
“Apakah langkah perubahan yang lebih besar atau ‘state change’ yang boleh diperkenalkan bagi penciptaan mencepatkan pekerjaan serta meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan belia pada anak muda? Sebahagian besar daripada mereka yang mencari pekerjaan ini adalah golongan muda yang berpendidikan tinggi,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga ingin menyentuh sedikit mengenai realiti pekerjaan dalam kalangan belia pada masa ini, pekerjaan ‘gig’ dan menggunakan pelbagai pekerjaan sambilan (multiple part time jobs) semakin menjadi sebahagian daripada realiti pasaran pekerjaan.
Oleh itu, tambah Yang Berhormat, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai bagaimana sektor ini boleh disokong secara lebih tersusun. Dengan sokongan yang tersusun, Yang Berhormat berpendapat bahawa sektor ‘gig’ dan pekerjaan sambilan ini berpotensi berkembang sebagai pilihan alternatif, pekerjaan-pekerjaan yang lebih formal, dilindungi dan mampan pada masa hadapan.
Selama ini dasar negara banyak menggalakkan belia untuk mendapatkan pendidikan setinggi mungkin. Kerajaan telah melabur dengan besar dalam menyediakan akses kepada pendidikan serta peluang kemajuan akademik. Kejayaan individu sering kali diukur melalui tahap pencapaian pendidikan.
Namun, terang Yang Berhormat, kenyataan masa kini menyaksikan generasi muda yang berpendidikan tinggi ada Masters dan ada yang Doctorate yang bersedia dan ingin menyumbang, tapi masih menghadapi cabaran untuk menterjemahkan kelayakan akademik mereka kepada peluang pekerjaan yang bermakna dan mampan. Mungkin perkara ini mengajak ‘kitani’ untuk menilai semula, sama ada penekanan dasar ‘kitani’ perlu berkembang secara berperingkat.
“Daripada memberi tumpuan kepada pencapaian kelayakan akademik semata-mata, kepada mengukuhkan mekanisme yang secara aktif kepada program-program yang panjang atau pendek untuk memudahkan penciptaan pekerjaan serta menyerapkan tenaga kerja tempatan.
“Pencapaian pendidikan akan sentiasa menjadi teras utama, namun semakin penting juga untuk memastikan fokus pendidikan dihubungkaitkan dengan secara langsung dengan peluang ekonomi dan mendapat pekerjaan. Mungkin satu indikator yang perlu dinilai kecemerlangan sesuatu institusi pendidikan bukan sahaja dikira berapa banyak graduan tetapi berapa banyak graduan yang lulus mendapat pekerjaan,” jelas Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




