BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Menyentuh mengenai industri halal, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam perbahasan menyatakan mengikut anggaran semasa, nilai industri global dianggarkan melebihi USD2 trilion hingga USD3 trilion dan berpotensi meningkat sehingga menghampiri USD7 bilion menjelang tahun 2023.
Dalam konteks ini, jelas Yang Berhormat, sektor makanan dan minuman sahaja dianggarkan bernilai lebih daripada USD 1.267 trilion pada tahun 2024, di samping perkembangan yang pesat dalam sektor farmaseutikal, kosmetik apatah lagi pelancongan Islam.
Perkembangan ini secara tidak langsung menjadikan industri halal sebagai salah satu sektor ekonomi yang semakin mendapat perhatian dan pemasarannya semakin menonjol di bukan sahaja kalangan negara-negara Islam malahan di persada antarabangsa.
“Pada hemat kaola, kepesatan perkembangan ini, Negara Brunei Darussalam (NBD) hendaklah memanfaatkan peluang dengan sebaik-baiknya, apatah lagi negara mempunyai ‘comparative advantage’ dan kekuatan iaitu ‘brand’ halal dan persijilan Halal Brunei yang diiktiraf dan terkenal di peringkat antarabangsa khususnya dalam kalangan negara-negara Islam.
“Cabarannya, bagaimanakah pendekatan serta rangka pelan tindakan negara yang berstrategik merebut peluang-peluang ini untuk berusaha secara bersungguh sungguh dalam mengembangluaskan dan memartabatkan industri halal khususnya produk dan Brunei ‘brand’ halal ke persada antarabangsa.
“Ini adalah salah satu daripada usaha kita untuk mempelbagaikan ekonomi yang sejajar dengan aspirasi seperti yang terkandung di dalam Brunei Economic Blueprint,” ujar Yang Berhormat dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026 / 2027 dan Anggaran Kumpulanwang Kemajuan 2026 / 2027 pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Seterusnya Yang Berhormat menaik perhatian di perspektif pemerkasaan wakaf sebagai salah satu alternatif instrumen kewangan sosial Islam yang perlu dikembangmajukan dan diperluaskan kebarigaannya kemanfaatan termasuk perkembangan impak serta meningkatkan sosialisasi masyarakat Islam khususnya dan negara amnya.
Apa yang difahami, jelas Yang Berhormat, impak wakaf bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala dan menjadi amal jariah yang berkekalan bahkan untuk mendatangkan signifikan impak serta kemanfaatan yang meluas kepada masyarakat serta orang awam secara keseluruhannya.
Ujar Yang Berhormat, wakaf ini juga melatih jiwa untuk bersedekah, mengikis sifat tamak dan menyucikan harta. Kemanfaatan dan khidmat wakaf dapat kita bersama-sama jadikan pengajaran dan juga iktibar sepertimana dalam ayat suci Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 261.
“Maksudnya, perumpamaan bagi orang yang mendermakan harta pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan buah tangkai. Tiap tiap tangkai itu pula terdapat 100 biji, dan ingatlah Allah akan memperlipat gandakan pahala bagi siapa yang dikehendakinya dan Allah maha luas rahmat kurnianya lagi maha mengetahui.
“Lebih-lebih lagi, sekiranya ‘governance’ pengurusan harta wakaf diuruskan secara efektif dan efektif yang berlandaskan hukum syarak, sehingga insyaaAllah, mampu menjana ‘economic return’ yang positif tanpa membebankan kedudukan fiskal tahunan kerajaan,” terang Yang Berhormat.
Dalam hal ini, tambah Yang Berhormat lagi, beberapa buah negara yang boleh kita jadikan contoh tauladan seperti Turkiye, Malaysia dan Singapura, telah mengorak langkah ke hadapan dengan mentransformasikan sepenuhnya lebih berinovatif dalam sistem pengurusan wakaf, sehingga menjadikannya sebagai instrumen memperkasakan lagi kebajikan dan kesejahteraan kemasyarakatan sekali gus sebagai pelengkap ‘value added’ yang menjana kepada pembangunan sosial ekonomi negara.
Pada kesimpulannya, wakaf juga berperanan menyumbang kepada memperkukuhkan lagi kedudukan fiskal negara.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




