14.03.26 Melaksanakan projek kemajuan negara dengan progresif, inovatif

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Pada persidangan hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah telah membentangkan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan.

Yang Berhormat mencadangkan usul di atas nama Yang Berhormat dalam Susunan Urusan yang berbunyi “Majlis ini dengan ini membuat ketetapan seperti yang dikehendaki oleh Bab 4(2) Akta Kumpulanwang Kemajuan [Penggal 136] bahawa perbelanjaan sejumlah BND480,000,000 untuk dibenarkan, diperuntukkan dan dipohonkan dari Kumpulanwang Kemajuan untuk maksud-maksud tersebut di bawah ini dan disebutkan dalam Anggaran Belanjawan Kemajuan 2026/2027, dibentangkan sebagai Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan”

Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Bagi Tahun 1447H/2026M antaranya bagi mengambil tindakan pelaksanaan yang lebih agresif ke arah Matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk membina sebuah negara yang progresif dan berpandangan jauh yang mengimbangi inovasi dengan kelestarian kewangan serta terus menjamin kesejahteraan rakyat.

Pada menjunjung titah-titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut jelas Yang Berhormat, kerajaan akan terus berusaha untuk melaksanakan projek-projek kemajuan negara yang akan membentuk masa depan negara yang progresif, inovatif dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyatnya di samping membangun sektor-sektor baharu berpandukan kepada matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat dalam pada itu mengongsikan peningkatan progres pembangunan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12) yang setakat 2 Mac 2026 sebanyak BND254.3 juta, iaitu 53 peratus daripada BND480 juta yang diperuntukkan pada Tahun Kewangan 2025/2026 telah dibelanjakan. Manakala sebanyak 30 buah projek telah siap dilaksanakan dan sebanyak 78 buah projek dalam pelaksanaan.

Sementara itu terang Yang Berhormat, sebanyak 68 projek dalam tawaran, 91 projek masih dalam peringkat reka bentuk, 37 projek dalam peringkat perancangan, dan satu projek telah dibatalkan. Projek-projek yang siap antaranya adalah projek-projek yang mendukung kluster pendidikan, kemajuan sosial, perumahan, mengukuhkan kelestarian alam sekitar, mengukuhkan sekuriti makanan dan bagi memajukan industri pelancongan.

Yang Berhormat menambah melangkah ke tahun ketiga RKN12, progres projek-projek yang dalam pelaksanaan meningkat di mana 78 projek sedang dalam pelaksanaan berbanding dengan 65 projek pada tahun kewangan lepas.

“Dalam hubungan ini, dengan peruntukan Tahun Kewangan 2026/2027 yang disediakan sejumlah BND480 juta yang mana telah pun dicadangkan dan dipersetujui bersama dengan semua kementerian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara, diharap akan dapat memacu progress projek-projek yang sudah dan akan berjalan dengan lebih cekap dan cepat serta menunjukkan peningkatan yang ketara pada masa akan datang,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI