13.03.26 Membahaskan isu sebenar yang dihadapi oleh negara, rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebagai wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh, antara yang disentuh oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat menjelaskan, ini termasuk melalui sesi-sesi dialog dan permuzakarahan bersama dalam usaha memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat, telah dan perlu diadakan secara berterusan di antara satu persidangan ke satu persidangan yang seterusnya.

“Harapan baginda yang mahu melihat pertumbuhan ekonomi negara yang rancak dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan melalui tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara menuju Wawasan Brunei 2035 termasuk penerokaan pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu, akan juga kaola junjung setinggi-tingginya.

“InsyaaAllah perkara ini dan juga perkara-perkara yang melibatkan kesejahteraan rakyat akan kaola titik-beratkan sebagai garis pandu dalam mengajukan dan meneliti perkara-perkara dan isu-isu strategik dan dasar yang akan kaola bangkitkan dalam dewan yang mulia ini,” ujar Yang Berhormat.

Terdahulu, Yang Berhormat merafakkan syukur dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan seterusnya mengurniakan titah sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN tahun ini.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, usulan-usulan atau cadangan-cadangan bagi penambahbaikan kepada sektor-sektor yang sedia ada berpotensi dalam mempelbagaikan lagi pertumbuhan ekonomi negara telah diajukan olehnya dan rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain pada sesi-sesi MMN sebelumnya.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI