13.03.26 Memastikan pembangunan NBD dilaksanakan secara inklusif, mampan, berdaya tahan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyokong usul Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, iaitu Usul Menjunjung Kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia titah baginda bersempena keberangkatan ke Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN).

Menurut Yang Berhormat, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut memberikan panduan yang jelas, menyeluruh dan berpandangan jauh mengenai cabaran serta keutamaan negara dalam memastikan pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD) terus dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Titah baginda bukan sahaja mencerminkan wawasan yang jauh ke hadapan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini malah turut menggambarkan keprihatinan mendalam dan komitmen berterusan baginda dan kerajaan baginda dalam memelihara kemakmuran negara serta memperkukuh hala tuju pembangunan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa ada terdapat tiga perkara utama yang akan ketengahkan, iaitu mengenai dengan MMN bukan sekadar satu perjumpaan tahunan tetapi merupakan wadah strategik untuk membincangkan isu sebenar negara dan rakyat. Titah baginda menekankan pendekatan dialog dan permuzakarahan yang berkesan antara Ahli-ahli MMN, kementerian dan kerajaan.

Yang Berhormat juga menyatakan majlis ini hendaklah dimanfaatkan sebagai forum tertinggi negara untuk bertukar pandangan secara terbuka, membincangkan cabaran semasa secara objektif dan merumuskan pendekatan yang lebih berkesan berasaskan fakta serta penelitian yang mendalam.

“Pendekatan ini termasuk juga penglibatan masyarakat, para peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan belia yang mana pendekatan yang sudah kita amalkan bagi memperkasa perbincangan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif mencerminkan realiti sebenar negara.

“Pendekatan sedemikianbukan sahaja sejajar dengan semangat syura dalam Islam malah berlandaskan lunas-lunas Perlembagaan Negara. Mencerminkan tadbir urus yang inklusif, berpandangan jauh dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan, perbincangan dasar dapat diperkayakan dan penyelesaian yang dirumuskan menjadi lebih pragmatik, berkesan serta berpaksikan kepentingan negara,” ujar Yang Berhormat lagi.

Perkara kedua yang disentuh dalam titah baginda kata Yang Berhormat lagi, ialah hakikat bahawa NBD, negara berdaulat mencipta kedamaian ini tidak terlepas daripada tempias cabaran global.

Turun naik harga komoditi tenaga, perubahan iklim, krisis kesihatan global yang tidak disangka dan perkembangan geopolitik antarabangsa merupakan antara cabaran yang memerlukan perhatian serius dan pendekatan yang lebih strategik.

Yang Berhormat juga menjelaskan titah baginda yang menekankan tindakan pelaksanaan yang agresif dan berstrategi untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 termasuk meneroka pelaburan strategik dalam sektor baharu. Selain itu, titah baginda juga menekankan kepentingan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh peranan sektor swasta dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai pemacu utama daya tahan ekonomi negara.

Yang Berhormat seterusnya berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengingatkan bahawa pembangunan negara hendaklah disertai dengan perbelanjaan yang berhemah dan pengurusan sumber secara optimum. Setiap peruntukan kerajaan perlu menumpukan kepada inisiatif yang berimpak tinggi dan mampu memberikan pulangan bernilai dan bermakna yang berpanjangan kepada negara.

Pendekatan ini jelas Yang Berhormat lagi, amat penting bagi memastikan kemampanan fiskal kerajaan serta memanfaatkan sumber negara secara strategik demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang.

“Perkara ketiga, peramba, kaola, saya sukacita ketengahkan daripada kurnia titah baginda ialah penekanan bahawa pembangunan negara hendaklah sentiasa berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Titah baginda menekankan kepentingan penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti dan selamat.

“Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap insiden kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa yang mengingatkan kita semua mengenai kepentingan memperkukuh kepentingan keselamatan jalan raya dan meningkatkan kesedaran bersama pengguna-pengguna jalan raya,” ujar Yang Berhormat.

Selain itu kata Yang Berhormat lagi, titah baginda menekankan tadbir urus yang cemerlang, integriti dan usaha membanteras rasuah serta salah guna kuasa tanpa kompromi. Ini selaras dengan aspirasi membina negara yang progesif, inovatif dan berpandangan jauh sambil memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Pendekatan ini penting bagi memastikan tadbir urus negara berlandaskan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan kurnia titah baginda merupakan peringatan bermakna dan tepat pada masanya bahawa dalam menghadapi cabaran masa hadapan kita perlu memperkukuh kecekapan, membudayakan kreativiti serta mempertingkatkan kerjasama antara semua sektor dalam melaksanakan dasar serta inisiatif pembangunan negara. Wawasan dan titah nasihat baginda sewajarnya diberikan sebagai pandangan bersama agar kita dapat melangkah dengan lebih yakin, merancang tindakan yang lebih strategik serta mencapai kemajuan yang lebih cemerlang bagi negara kita tercinta, NBD yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja.

“Sehubungan dengan itu, peramba, kaola, saya yakin semua Ahli-ahli Berhormat Yang Dilantik juga menyedari kepentingan untuk bersama-sama memanfaatkan majlis ini sebagai medan perbincangan yang terbuka, matang dan berlandaskan semangat syura, mengemukakan pandangan serta cadangan yang bernas mengenai isu-isu kepentingan negara termasuk cabaran global baharu.

“Semoga persidangan majlis ini akan terus menjadi medan untuk berunding dengan penuh integriti, berfikiran kreatif serta bertindak secara strategik. InsyaaAllah, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan berasaskan fakta, data yang relevan dan amalan terbaik akan dapat menyumbang kepada kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara bumi bertuah ini yang sama-sama kita cintai,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI