13.03.26 Kesejahteraan, kemajuan rakyat jadi keutamaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Keprihatinan dan pemedulian tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengambil berat terhadap pelbagai sudut dan aspek kehidupan rakyat termasuk kesejahteraan sosial, pertumbuhan ekonomi negara, infrastruktur dan kemudahan awam, keselamatan negara dan tadbir urus pentadbiran awam yang mencerminkan kepimpinan baginda yang sentiasa meletakkan kesejahteraan dan kemajuan rakyat sebagai keutamaan di samping memastikan kemakmuran dan kestabilan negara terus terpelihara.

Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menggariskan perkara tersebut semasa berucap pada hari kedua Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menyeru semua pihak untuk sama-sama menghayati dan menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu dengan penuh gigih, komitmen, bertanggungjawab dan bersama-sama berganding bahu melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara dalam tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta berketahanan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, saya kira Ahli-ahli Yang Berhormat semua akan dapat meneliti sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah dikurniakan semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Pertama Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN terutamanya harapan baginda kepada Ahli-ahli MMN akan sama-sama berganding bahu dengan kerajaan baginda untuk mencari penyelesaian caraban-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara kita,” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, majlis ini amat terhormat dan menjunjung kasih setinggi-tingginya atas keberangkatan baginda ke Istiadat MMN, dalam keadaan baginda yang mana jelas memperlihatkan semangat dan iltizam baginda yang tinggi dalam memelihara serta mengambil berat akan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Di kesempatan ini, kita semua terus berdoa semoga baginda akan dikurniakan kesihatan yang berterusan dan berpanjangan serta sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan pada tahun ini adalah agak istimewa sedikit, yang mana ianya berlangsung dalam bulan yang penuh mubarak ini. Ini juga bermakna kita mengadakan mesyuarat dalam keadaan yang sedikit berbeza dan memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan cabaran cabaran yang kita hadapi.

“Ke arah ini, saya berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat akan dapat memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya agar kita dapat memastikan urusan mesyuarat kita mendapati keperluan semasa.

“Saya percaya dengan semangat muafakat dan profesionalisme yang tinggi, kita mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan bagi mencapai keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI