Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan bermula pada Khamis, 22 Ramadhan 1447H bersamaan 12 Mac 2026M dengan keberangkatan dan pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai tumpuan utama Istiadat Pembukaan Rasmi.
Sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi berlangsung, Persidangan MMN akan bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Jurnal (Minit Mesyuarat) Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang telah bersidang pada 2025.
Persidangan berkenaan akan ditangguhkan bagi memberikan laluan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN.
Persidangan MMN tahun ini akan membincangkan perkara yang berkaitan hala tuju pembangunan negara melalui pertanyaan serta perbahasan yang tertumpu kepada Rang Undang-undang (2026) Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2026/2027 dan Usul Kumpulanwang Kemajuan untuk diluluskan sepenuhnya dan diwartakan untuk diguna pakai bermula 1 April 2026.
Persidangan MMN akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
MMN kekal berperanan sebagai institusi perundangan dan perbincangan tertinggi negara. Ahli-ahli MMN terdiri oleh Ahli Rasmi Kerana Jawatan dan Ahli Yang Di-Lantik dari Orang-orang Yang Bergelar, Orang-orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan, dan Wakil-wakil Dari Daerah-daerah.
Melalui perbahasan yang berhemat serta suasana musyawarah yang konstruktif, MMN berfungsi sebagai wadah penyelarasan pandangan antara rakyat dan kerajaan dalam menimbangkan dasar-dasar penting negara ke arah menyokong usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan sosial yang inklusif, serta memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara di bawah limpahan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.
Sesi Persidangan MMN berkenaan dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbahasan dan perbincangan. Orang awam yang berminat dialu-alukan untuk menghadiri dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan, sehari selepas Istiadat Pembukaan Rasmi.
Perkhidmatan jurubahasa dalam bahasa Inggeris (translation services in English) juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.
Institusi pendidikan dijemput untuk membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN termasuk proses perundangan negara dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN.
Permohonan lawatan boleh dibuat melalui surat rasmi kepada Urus Setia MMN sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh lawatan.
Rakaman persidangan harian boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada jam 9.00 malam bagi rakaman bahagian satu dan diikuti lagi pada jam 11.00 malam bagi rakaman bahagian dua.
Dokumen rasmi persidangan seperti Penyata Rasmi (Hansard), Minit Mesyuarat dan Perintah Harian bolehlah diakses melalui laman sasawang ‘www.majlis-mesyuarat.gov.bn’ atau ‘www.councils.gov.bn’.
Maklumat terkini dan perkembangan persidangan, juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi ‘@legcobrunei’.
Pelawat dan orang ramai yang berminat untuk menghadiri Sesi Persidangan adalah dipohonkan untuk mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara memasuki Dewan Persidangan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran sepanjang sesi berlangsung, termasuk pakaian kemas dan sopan seperti yang dinyatakan dalam peraturan, telefon bimbit perlu diaktifkan kepada mod senyap, dan tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran.
Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah dikemukakan kepada Urus Setia MMN, iaitu Urus Setia Majlis Mesyuarat Negara, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Jalan Dewan Majlis, BB3910 Negara Brunei Darussalam atau melalui talian +673 2380501 atau faks: +673 2385500 atau e-mel ‘majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn’.
(sumber berita: Pelita Brunei)




