10.02.26 Yang Di-Pertua MMN menerima kunjungan hormat daripada Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam

Bandar Seri Begawan, Selasa, 10 Februari 2026 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam; dan Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam. Majlis diadakan secara berasingan di Bangunan Dewan Majlis pagi tadi.

Semasa Kunjungan Hormat bersama Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook, Duta Besar Republik Korea telah merakamkan ucapan tahniah atas keanggotaan Majlis Mesyuarat Negara dalam Inter-Parliamentary Union (IPU). Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea, termasuk di peringkat parlimen. Perbincangan juga termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan. Kedua-dua pihak turut menyentuh isu-isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama dengan penekanan terhadap peranan diplomasi dalam hubungan antara negara.

Sementara itu, semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Heuankeo Sangsomsak, perbincangan menyentuh hubungan baik yang telah terjalin lama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos, khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai hubungan di peringkat parlimen dan perluasan pertukaran kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan. Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Laos turut menyatakan hasrat bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Hadir bersama semasa Kunjungan-Kunjungan Hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

BERITA TERKINI