13.02.26 Ahli-Ahli MMN menyertai program latihan menangani penyalahgunaan AI dan teknologi baharu

Jumaat, 13 Februari 2026, MANILA – Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, telah menyertai program latihan “Legislative and Policy Measures to Prevent and Counter the Use of Artificial Intelligence and New Technologies for Terrorism and Violent Extremism” yang berlangsung dari 11 hingga 13 Februari 2026 di Manila, Republik Filipina. Program latihan ini menjadi landasan bagi mengukuhkan dialog serantau dan kerjasama antara parlimen dalam menghadapi cabaran teknologi semasa.

Dalam ucapan Majlis Pembukaan Rasmi, Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Filipina, Yang Berhormat Faustino “Bojie” G. Dy III, menyentuh potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan menegaskan keperluan meningkatkan kewaspadaan terhadap penyalahgunaan platform digital terutamanya dalam penyebaran maklumat palsu. Yang Berhormat Speaker menekankan akan kepentingan penguatkuasaan undang-undang, pengawasan legislatif serta kerjasama berterusan antara parlimen negara-negara ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan.

Program latihan tersebut turut melibatkan pakar daripada beberapa organisasi antarabangsa, antaranya United Nations Office of Counter-Terrorism (UNOCT), United Nations Office of the High Commissioner for Human Rights (OHCHR) dan DLA Piper LLP, yang membincangkan aspek perkembangan penggunaan AI, keselamatan digital serta isu hak asasi manusia.

Sebagai hasil daripada program ini, Republik Filipina akan mencadangkan deraf resolusi berkaitan Kecerdasan Buatan untuk dibentangkan semasa Mesyuarat Perhimpunan Agung ke-47 ASEAN Inter-Parliamentary Assembly nanti.

BERITA TERKINI