31.01.26 Kementerian Kewangan dan Ekonomi adakan Sesi Muzakarah

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Januari. – Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Sesi Muzakarah bersama dengan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, hari ini.

Hadir selaku pengerusi semasa Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Juga hadir, Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap berserta ketua-ketua jabatan dan bahagian Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Manakala rombongan daripada Ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, yang mana juga telah menyampaikan ucapan balas semasa permuzakarahan tersebut.

Sesi Muzakarah tersebut merupakan sebuah platform perbincangan serta bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan secara konstruktif yang merangkumi pelbagai aspek, antaranya landskap ekonomi global dan domestik; strategi pengurusan fiskal melalui perlaksanaan Program Fiscal Consolidation (FCP) dan pengkorporatan.

Selain itu, ia juga platform dalam membincangkan dan memberikan pengetahuan dalam usaha transformasi ekonomi melalui Brunei Darussalam Economic Blueprint; tadbir urus kewangan; memperkukuh ekonomi perdagangan dan industri tempatan serta pengukuhan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

Dalam pada masa yang sama, Yang Berhormat turut menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor kerajaan, sektor swasta dan masyarakat melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation untuk sama-sama berganding bahu ke arah mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan.

(sumber berita & gambar: Kementerian Kewangan dan Ekonomi)

BERITA TERKINI