14.01.26 Sesi Muzakarah ketengahkan pandangan, cadangan meningkatkan kualiti pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Januari. – Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Dewan Persidangan 1 (P1), Kementerian Pendidikan.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Permuzakarahan ini merupakan acara tahunan bagi Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkepentingan.

Sesi Muzakarah bersama Kementerian Pendidikan berkenaan dihadiri oleh seramai 17 orang Ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin selaku Penghulu Mukim Lumapas.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan pencapaian dan kejayaan serta pengiktirafan yang telah diraih Kementerian Pendidikan sepanjang tahun 2025.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, tahun 2025 sangat bermakna bagi Kementerian Pendidikan apabila melalui para pelajar, pendidik, ahli akademik, para pegawai kementerian masing-masing telah menyumbang kepada beberapa anugerah peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Ini jelasnya termasuklah penganjuran beberapa acara berprestij yang telah berjaya dilaksanakan. Kejayaan yang diraih juga menunjukkan Kementerian Pendidikan sentiasa siaga dengan misinya, iaitu ‘Untuk Menyediakan Pendidikan yang Berkualiti dan Holistik untuk Kehidupan Pelajar yang Bermanfaat’.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menekankan bahawa penglibatan berterusan Ahli-ahli MMN, para ibu bapa, penjaga serta masyarakat amat diperlukan dalam mendukung dan merealisasikan visi Kementerian Pendidikan, ‘Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif.’

Pada Sesi Muzakarah berkenaan, Yang Berhormat Awang Amran selaku Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN Tahun 2026 turut menyampaikan ucapan balas.

Sesi Muzakarah telah berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan lontaran pandangan dan cadangan yang membangun dan strategik untuk sama-sama merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu ‘Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya’ serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.

Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Rektor, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI