BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Negara Brunei Darussalam (NBD) terus melangkah ke hadapan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi sebagai salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035, dengan fokus kepada pengurangan kebergantungan terhadap sektor minyak dan gas serta pemerkasaan sektor-sektor ekonomi baharu.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas menyatakan demikian ketika menyampaikan ulasan pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.
Menurut Yang Berhormat, antara sektor yang sedang diberi tumpuan ialah pelancongan, pertanian moden, teknologi digital serta kewangan Islam, yang dilihat berpotensi besar dalam mencipta peluang pekerjaan, menjana sumber pendapatan baharu serta menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang negara.
“Langkah ini adalah penting untuk meningkatkan peluang pekerjaan, mewujudkan sumber pendapatan baharu dan menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang negara,” jelas Yang Berhormat.
Namun begitu, Yang Berhormat turut menekankan kepentingan untuk menilai sejauh mana sektor-sektor baharu ini mampu menggantikan dominasi sektor minyak dan gas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Sama ada rakyat bersedia dari segi minat, kemahiran dan infrastruktur sokongan untuk menceburi bidang-bidang tersebut juga harus diberikan perhatian sewajarnya,” tambah Yang Berhormat.
Dalam hal ini, Yang Berhormat menyarankan agar dasar pembangunan yang dirangka mestilah bersifat mampan, disokong dengan pelaburan jangka panjang, program latihan yang berterusan serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Yang Berhormat juga menegaskan bahawa kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan hanya terletak pada kewujudan dokumen dasar semata-mata, tetapi lebih penting ialah pelaksanaan yang efektif, adil dan bersifat menyeluruh.
Yang Berhormat menyeru kepada penyertaan aktif seluruh rakyat dan penduduk dalam menjayakan Wawasan Negara 2035, dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, semangat kebersamaan serta kepimpinan yang bijaksana.
“Dengan sokongan padu semua pihak, NBD mampu melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, menuju masa depan yang lebih cemerlang, makmur dan disegani di persada antarabangsa,” ujar Yang Berhormat mengakhiri ucapannya.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




