BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Oktober. – Sesi Dialog Kementerian Kesihatan bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diadakan hari ini bertempat di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan. Seramai 15 Ahli-ahli MMN menghadiri Sesi Dialog tersebut yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan.
Sebelum Sesi Dialog dimulakan, Ahli-ahli MMN dibawa melawat ke perkhidmatan-perkhidmatan di Pusat Kesihatan Berakas dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Sesi Muzakarah ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Guru Ugama Terlatih, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Haji Mohd. Emmarul bin Haji Azamain, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin selaku Pengerusi Sesi Dialog ini.
Majlis seterusnya disusuli dengan Sesi Dialog di antara Ahli-ahli MMN dan pihak Kementerian Kesihatan. Sesi Dialog yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Hajah Lailawati binti Haji Jumat; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




