08.10.24 Sesi dialog, lawatan kerja wadah perbincangan, perkongsian fikiran

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Oktober. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menerima rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi sesi dialog dan lawatan kerja bersama dua buah jabatan di bawah KKBS, iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS).

Sesi Dialog dan Lawatan Kerja ini diadakan secara berasingan.

Pada sebelah pagi, sesi dialog dan lawatan kerja bersama JAPEM diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS dan pada sebelah petang, sesi dialog dan lawatan kerja bersama JBS diadakan di Dewan Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Bagi sebelah pagi, sesi dialog dan lawatan kerja bersama JAPEM dimulakan dengan lawatan dan penerangan dari beberapa bahagian di jabatan berkenaan iaitu Bahagian Bantuan Kebajikan Am; Pusat Panggilan dan Bahagian Warga Emas dan Pencen-Pencen.

Seterusnya, selesai lawatan, sesi dialog antara Ahli-ahli MMN dan JAPEM dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan.

Seterusnya, majlis disusuli dengan ucapan alu-aluan dari Pemangku Pengarah, JAPEM, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak yang menekankan kepentingan rangkaian strategik serta platform yang telah dibina dan dibangunkan bersama agensi-agensi kerajaan atau bukan kerajaan dalam menggalas tanggungjawab besar Jabatan ini dalam memeduli kesejahteraan dan membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan.

Sesi Dialog bersama JBS dimulakan dengan lawatan dan penerangan beberapa bahagian iaitu Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sains Sukan, Hab Belia dan Galeri Sukan.

Seterusnya, selesai lawatan, sesi dialog antara Ahli-ahli MMN dan JBS dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Seterusnya, majlis disusuli dengan ucapan alu-aluan dari Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim yang menyentuh mengenai usaha-usaha dan pencapaian sektor kesukanan, dan melalui sesi dialog seumpama ini juga, nasihat, teguran dan pandangan yang berharga daripada Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menjadi panduan untuk memperbaiki dan memperkukuhkan lagi program-program yang berimpak positif dan tinggi untuk mencapai matlamat dan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sesi Dialog diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab.

Sesi Dialog dan Lawatan Kerja daripada Ahli-ahli MMN ini setentunya menjadi wadah pendekatan dan perkongsian fikiran yang bermanfaat kepada KKBS dalam menambah mutu perkhidmatan bagi sektor-sektor utama di bawah kementerian ini.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI