12.10.24 Penglibatan semua pihak perlu untuk realisasikan visi Kementerian Pendidikan

BELAIT, Sabtu, 12 Oktober. – Inisiatif-inisiatif telah dijalankan di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023-2027 bagi mendukung misi Kementerian Pendidikan, iaitu ‘Untuk Menyediakan Pendidikan yang Berkualiti dan Holistik untuk Kehidupan Pelajar yang Bermatlamat’.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Sesi Muzakarah dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di Bilik Persidangan, Pusat Tingkatan Enam Belait, di sini.

Justeru itu, penglibatan secara berterusan Ahli-ahli Yang Berhormat, para ibu bapa, penjaga dan masyarakat tegasnya, amat diperlukan dalam mendukung dan merealisasikan visi Kementerian Pendidikan ‘Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif’.

Permuzakarahan yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan ini merupakan acara tahunan bagi Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Jabatan Perdana Menteri bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkepentingan.

Seramai 14 Ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman menghadiri sesi muzakarah bersama Kementerian Pendidikan berkenaan.

Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Rektor, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

Sesi Muzakarah ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan disusuli dengan ucapan balas yang disampaikan oleh Yang Berhormat Awang Haji Md Salleh selaku Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN Tahun 2024.

Sesi muzakarah diadakan dalam suasana silaturahim dan secara terbuka bagi perkongsian maklumat, cabaran dan cadangan yang bakal memberikan manfaat kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha bagi merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu ‘Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran dan Berjaya’ serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)​

BERITA TERKINI