BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 Oktober. – Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi Belia Masjid Senegera hari ini mengadakan Program Serasehan Belia-belia Masjid Negara Brunei Darussalam (NBD) bersempena Hari Belia Kebangsaan 2024 anjuran Belia Masjid Senegara dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertempat di Dewan Serbaguna, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Lebih kurang 100 orang terdiri daripada para belia masjid di NBD turut serta dalam menjayakan program berkenaan.
Dengan membawakan tema ‘Generasi Belia, Masa Depan Kita’, acara berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara para belia masjid di negara ini, di samping untuk saling memperkenalkan antara satu dengan yang lain.
Selain itu, ia juga untuk menyediakan satu wadah (platform) bagi para belia masjid untuk saling bertukar pendapat dan bermuzakarah demi mencapai gerak kerja kebeliaan dengan lebih produktif sekali gus sebagai langkah awal untuk membina hubungan antara belia masjid untuk lebih banyak bekerjasama pada masa akan datang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai, Tutong.
Acara dimulakan dengan Majlis Perasmian Serasehan Belia Masjid dan diselitkan dengan beberapa aktiviti di antaranya sesi suai kenal, sesi muzakarah, ‘open mic’ dan juga persembahan.
Sementara sesi muzakarah dibimbing oleh fasilitator yang terdiri daripada para belia dan beliawanis yang berpengalaman daripada para belia masjid yang dikenal pasti aktif di negara ini.
Majlis diakhiri dengan penyampaian pembacaan resolusi Sarasehan Belia Masjid oleh Pengerusi AJK Tertinggi Kumpulan Belia Masjid Senegara, Awang Haji Mawaridi bin Dr. Haji Morsidi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




