23.10.24 MMN hadiri Perhimpunan Agung AIPA Ke-45

​VIENTIANE, REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAO, Rabu, 23 Oktober. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-45 yang berlangsung dari 18 hingga 22 Oktober 2024 yang dihoskan oleh Dewan Rakyat Republik Demokratik Rakyat Laos.

Perhimpunan berkenaan diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao, dengan tema ‘The Role of Parliaments in Enhancing Connectivity and Inclusive Growth of ASEAN’.

Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, dan disertai 10 Ahli MMN.

Turut serta, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, dan pegawai-pegawai dari Urus Setia MMN.

Dalam tempoh lima hari, Perhimpunan Agung AIPA Ke-45 meluluskan 38 buah resolusi yang merangkumi isu-isu kritikal di bawah komiti politik, ekonomi, sosial, organisasi, serta Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita dan Mesyuarat Ahli Parlimen Muda.

Setiap komiti membincangkan dan meluluskan resolusi-resolusi yang berkaitan dengan pembangunan serantau, kerjasama dan isu-isu global. Komiti politik membincangkan antara lain keselamatan siber dan keterhubungan ASEAN dan kerjasama politik bagi memperkukuh kestabilan serantau. Komiti juga membincangkan kerjasama parlimen yang diperlukan bagi menangani ancaman siber.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman.

Komiti ekonomi memberi tumpuan kepada ketahanan siber dan pendigitalan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital ASEAN. Resolusi-resolusi menggariskan peranan pelaburan bertanggungjawab dalam sektor pertanian, serta kepentingan mobilisasi modal ke arah pembangunan infrastruktur mampan.

Komiti juga telah meluluskan satu resolusi bertajuk ‘Strengthening ASEAN Cyber Resilience Through Parliamentary Cooperation : Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy’ yang dicadangkan oleh NBD.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

Komiti sosial mengesahkan resolusi yang menekankan tindakan bersepadu ASEAN dalam menangani isu-isu terkini dalam perkembangan sosial termasuk masalah plastik, inovasi digital dalam penjagaan kesihatan, penyalahgunaan dadah dan kebajikan sosial bagi warga tua.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Komiti organisasi meluluskan resolusi yang berkaitan dengan pentadbiran AIPA termasuk laporan kewangan, cadangan bajet, mengesahkan garis panduan, prosedur dan pengemaskinian kepada status kerangka kerja dan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU).

Mesyuarat berkenaan turut meluluskan sebuah resolusi bagi AIPA Distinguished Service Award sebagai pengiktirafan sumbangan kepada AIPA.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Dr. Dayang Hajah Huraini.

Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) meluluskan resolusi yang berkaitan dengan membangunkan parlimen yang responsif terhadap isu jantina (gender) dan menggalakkan penyertaan politik wanita di ASEAN.

Resolusi juga turut menekankan usaha menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak serta menyegerakan inisiatif kesaksamaan gender.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah dan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Mesyuarat Ahli Parlimen Muda (YPA) menekankan peranan belia dalam membina ASEAN yang inklusif dan berdaya tahan. Resolusi-resolusi menggariskan kepentingan penglibatan belia dalam proses penggubalan dasar serta mempromosikan kesihatan mental belia dan inovasi digital untuk mencapai pembangunan mampan.

MMN diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

Perhimpunan Dialog Bersama Parlimen Pemerhati AIPA berkenaan turut mengadakan sesi dialog bersama dengan 15 buah Parlimen Pemerhati AIPA, dalam usaha memperkukuh kerjasama parlimen ke arah pertumbuhan inklusif dan keterhubungan ASEAN.

Dalam Sidang Plenari Kedua, delegasi Parlimen Negara-negara ASEAN melaporkan pencapaian Mesyuarat Komiti Perhimpunan Agung AIPA Ke-45. Perhimpunan diakhiri dengan persetujuan sebulat suara terhadap Kenyataan Bersama (Joint Communique) yang ditandatangani oleh Ketua-ketua Perwakilan negara Ahli AIPA.

Menutup tirai Perhimpunan Agung AIPA Ke-45, Negara Malaysia telah menerima AIPA Chairmanship sebagai tuan rumah Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 pada 2025.

(sumber berita: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI