09.11.24 Tinjau peranan, tanggungjawab MFPRSC dalam sistem penjagaan kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 November. – Pusat Maksilofasial, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Wajah (MFPRSC), iaitu sebuah kemudahan khusus di bawah Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), hari ini menganjurkan sesi dialog dan lawatan fasiliti yang produktif untuk Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara.

Objektif utama sesi berkenaan diadakan adalah untuk mendalami pemahaman mengenai peranan dan tanggungjawab MFPRSC dalam sistem penjagaan kesihatan khususnya di negara ini.

Sesi berkenaan juga berperanan sebagai platform yang bermakna untuk perbincangan mengenai cara MFPRSC bekerjasama dengan kemudahan kesihatan lain bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Selain itu, lawatan yang diadakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berkenaan juga memberi peluang berharga kepada Ahli-ahli Yang Berhormat MMN untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai perkhidmatan dan fasiliti canggih yang disediakan oleh MFPRSC di RIPAS.

Lawatan berkenaan termasuk kunjungan ke kawasan utama seperti Klinik Pesakit Luar, CranioMaxillofacial Prosthetic Laboratory, Hybrid Operating Theatres, dan Implantology Clinic.

Lawatan diakhiri dengan sesi dialog yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif, PJSC dan Pengarah Pusat MFPRSC, Dr. Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

Acara berkenaan menghimpunkan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.

Turut hadir para acara lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin serta pihak pengurusan kanan PJSC dan ketua-ketua jabatan MFPRSC.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)​​

BERITA TERKINI