01.03.25 Kerajaan komited menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi, mudah diakses

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Tema Belanjawan pada Tahun Kewangan 2023/2024 dan 2024/2025 iaitu ‘Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur’ atau ‘Building A Prosperous Future Together’ adalah dikekalkan lagi untuk kali terakhirnya bagi Tahun Kewangan 2025/2026. Ini adalah untuk memastikan kesinambungan dan pendekatan yang konsisten serta bersepadu dalam pelaksanaan dasar-dasar dan matlamat-matlamat perbelanjaan.

Ia juga dikekalkan untuk meneruskan projek dan inisiatif yang telah dirancang atau sedang dilaksanakan ke arah mencapai sasaran strategik bagi merealisasikan matlamat-matlamat di bawah Wawasan Brunei 2035.

Tema belanjawan ini memfokuskan kepada tiga keutamaan iaitu pertama, Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktiviti Awam; kedua, Memupuk Kepelbagaian Ekonomi Yang Mampan; dan ketiga, Pembangunan Modal Insan yang Dinamik dan Berwawasan.

“Tema ini berperanan sebagai panduan strategik untuk memastikan penggunaan sumber negara secara optima dengan memberi penekanan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif bagi membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan dan seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terpelihara.

“Ini termasuk meningkatkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan projek-projek yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, mempelbagaikan sektor ekonomi, dan meningkatkan persekitaran perniagaan untuk menarik pelaburan berkualiti, termasuk daripada Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Usaha-usaha ini penting bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan, terutamanya dalam sektor swasta,” kongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, kerajaan juga akan terus komited dengan menyediakan infrastruktur yang berkualiti tinggi dan mudah diakses bagi memudahkan aktiviti ekonomi, di samping menumpukan kepada pendidikan inklusif.

Ini tambah Yang Berhormat, bertujuan untuk melahirkan individu yang berkemahiran, ’employable’, dan bersedia untuk masa depan, selaras dengan keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada produktiviti negara.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI