15.03.25 Ke arah merealisasikan pembangunan Akademi Seni Budaya Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Mac. – Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 telah meluluskan peruntukan sebanyak BND31.75 juta bagi menjadikan Bangunan Bekas Radio Televisyen Brunei dan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka di Bandar Seri Begawan menjadi Hab Industri Kreatif dan Budaya (CCI), termasuk pembangunan Akademi Seni Budaya Brunei. Sejak sesi mesyuarat yang lepas, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menjalankan pelbagai usaha bagi merealisasikan akademi ini, termasuk penyediaan buku kurikulum Akademik Seni Budaya Brunei sebagai rujukan utama dalam melestari seni budaya Brunei.

Ini dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis MMN pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat Menteri, satu kajian dasar telah dilaksanakan pada tahun lepas yang menilai kesan industri kebudayaan dan kreatif di Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu strategi mempelbagaikan ekonomi negara dan sehingga kini, beberapa langkah pelaksanaan telah dijalankan bagi memastikan hab dan akademi seni budaya ini dapat direalisasikan. Antaranya satu mesyuarat ‘Kick Off’ projek telah diadakan, diikuti dengan sesi taklimat teknikal, kajian reka bentuk dan penyediaan keperluan infrastruktur hab industri kebudayaan dan kreatif termasuk akademi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI