9.10.25 Usaha memperkukuh hubungan baik MMN, Parlimen Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Oktober. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Speaker of the Parliament of Singapore, Yang Berhormat Seah Kian Peng di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, hari ini.

Rombongan Ahli-ahli Parlimen Singapura berkenaan turut disertai oleh Yang Berhormat Dr. Wan Rizal; Yang Berhormat Dennis Tan; Yang Berhormat Lee Hui Ying; Yang Berhormat Hazlina Abdul Halim bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Laurence Bay.

Turut hadir dalam kunjungan berkenaan, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah serta Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Yusuf; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee; Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mesra yang menumpukan kepada usaha-usaha untuk terus memperkukuh hubungan baik antara MMN dan Parlimen Singapura, khususnya dalam mempererat jalinan silaturahim dan kerjasama antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai fungsi serta peranan institusi parlimen masing-masing di samping berkongsi pendekatan dalam aspek pengurusan parlimen, pembangunan kapasiti dan peluang pembelajaran bersama melalui pertukaran amalan terbaik.

Pertemuan tersebut telah menekankan kepentingan hubungan antara-parlimen dalam menyokong hubungan akrab antara NBD dan Republik Singapura di samping memperkukuh jalinan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam pelbagai bidang pembangunan. Selepas kunjungan hormat, rombongan turut mengadakan lawatan ke Dewan Persidangan MMN.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk terus mempererat hubungan institusi legislatif kedua-dua negara, di samping menyumbang kepada pengukuhan persahabatan serta kerjasama NBD dan Republik Singapura secara menyeluruh.

BERITA TERKINI