9.10.25 Berkenan menerima mengadap Speaker of the Parliament of Singapore

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Oktober. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Speaker of the Parliament of Singapore, Yang Berhormat Seah Kian Peng, di Istana Nurul Iman.

Semasa Majlis Mengadap berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyampaikan ucapan tahniah atas pemilihan semula Yang Berhormat sebagai Speaker of the Parliament of Singapore, dan berbincang mengenai langkah-langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura, termasuk kerjasama dua hala di antara Majlis Mesyuarat NBD dan Parlimen Republik Singapura, serta memperkukuh persefahaman dalam konteks serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat serta rombongan berada di negara ini bagi mengadakan Lawatan Kerja selama dua hari. Lawatan berkenaan juga sebagai usaha memperkukuh kerjasama antara institusi legislatif ASEAN terutamanya mempererat hubungan dua hala antara institusi legislatif NBD dan Republik Singapura.

Juga hadir semasa Majlis Mengadap berkenaan, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI