BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 November. – Kumpulan Titih Hasanah telah melancarkan projek yang bertajuk ‘Memperkasa Ibu Tunggal’ bertempat di sebuah hotel ibu negara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, dan turut hadir pegawai-pegawai kanan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta agensi-agensi yang terlibat dalam projek ini.
Projek ‘Memperkasa Ibu Tunggal’ merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 31 Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Institut Perkhidmatan Awam.
Tujuan utama projek ini adalah untuk membantu ibu tunggal yang belum memiliki pekerjaan, dengan memberikan mereka peluang untuk memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kebolehan dan kelayakan mereka.
Melalui inisiatif ini, diharapkan agar dapat meringankan beban kewangan ibu tunggal dalam menyara keluarga.
Ketua Kumpulan Titih Hasanah, Dayang Rokiah binti Haji Angas, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa projek ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai syarikat swasta, termasuk syarikat perhotelan, restoran, dan kafe-kafe.
Beberapa syarikat telah menawarkan waktu kerja yang fleksibel bagi menampung keperluan ibu tunggal, antara pekerjaan yang ditawarkan termasuk tukang masak, pelayan restoran, dan pekerjaan dalam sektor penjagaan rumah (housekeeping).
“Kami telah membuat perundingan dengan beberapa syarikat untuk menyediakan peluang pekerjaan yang dapat memberi ruang kepada ibu-ibu tunggal untuk bekerja mengikut waktu yang sesuai dengan mereka,” ujarnya lagi.
Seramai 24 ibu tunggal telah mendaftar untuk mencari pekerjaan semasa sesi Taklimat Pekerjaan yang diadakan pada 19 Oktober 2024.
Setelah melalui proses temu duga di beberapa syarikat yang mengambil bahagian dalam projek ini, seramai 10 ibu tunggal berjaya mendapat pekerjaan dengan memulakan kerjaya baru di syarikat-syarikat terlibat, termasuk Tarindak D’Polo, Tarindak D’Seni, Restoran PABO, Centrepoint and Rizqun International Hotel, dan Coffee Bean & Tea Leaf Cafe.
Antara lain tujuan projek ini adalah untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang kepentingan membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya ibu tunggal.
Selain itu, projek ini juga dapat membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan ibu tunggal melalui pemberian peluang pekerjaan.
Selain manfaat kepada ibu tunggal, projek ini turut memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat swasta yang terlibat, dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Inisiatif ini juga menjadi salah satu contoh pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat.
Projek ‘Memperkasa Ibu Tunggal’ diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu golongan ibu tunggal untuk hidup lebih sejahtera.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




